Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLatar Belakang Tema Majlis Ilmu 2016

Dunia sedang menyaksikan perkembangan teknologi perhubungan (communication) yang sangat pesat dalam bidang pengangkutan (transportation) dan bidang Information Communication and Technology (ICT).

Sistem Perhubungan yang merangkumi pengangkutan dan ICT merupakan asas kehidupan bagi mencapai keselesaan hidup di dunia dan mendapat keredhaan di akhirat. Ia meletakkan hukum kepada seluruh masyarakat Islam bagi memahami bahawa keperluan untuk mengadakan satu sistem perhubungan yang baik dan untuk mengendalikannya dengan berkesan adalah satu tuntutan fardhu kifayah.

Zaman kegemilangan Islam satu ketika dahulu telah memberikan sumbangan yang amat besar di dalam pembentukan sejarah ketamadunan manusia. Banyak pelajaran penting yang boleh dipelajari daripada pengalaman zaman tersebut, diantaranya termasuklah rahsia kejayaan mereka dari segi mengharmonikan tuntutan syariat dengan tuntutan kemajuan ilmu dalam pelbagai bidang. Bagi mereka, syariat bukan penghambat kemajuan sains dan teknologi. Sebaliknya, syariat adalah pencetus daya kreatif teknologi dan pembimbing serta pengawas kemajuan teknologi agar ia digunakan dengan baik. Dengan kata lain, syariat adalah penjamin terserlahnya budaya teknologi yang sihat dan selamat.

Perkembangan dalam kedua-dua bidang perhubungan ini memberikan impak signifikan ke atas kehidupan manusia. Bidang ICT telah menunjukkan perubahan besar dalam cara dan gaya hidup manusia serta menjanjikan pelbagai kemungkinan yang tidak dapat diduga dan dibayangkan sekarang ini. Banyak pihak telah menggunakan istilah “ledakan teknologi” (technological explosion) bagi menggambarkan kepesatan perkembangan teknologi yang luar biasa ini.

Begitu juga pengangkutan, ianya memainkan peranan penting dalam memudahcara pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan. Antara faktor kejayaan bagi sistem pengangkutan ini adalah bergantung kepada ketepatan masa, konektiviti dan reliability perkhidmatan. Dari zaman awal lagi, pengangkutan adalah mudah tetapi sangat berkesan. Sebagai contoh, haiwan seperti kuda, unta dan kerbau digunakan sebagai alat pengangkutan darat serta mengurangkan bebanan yang dibawa. Pengangkutan juga membantu dalam gerakan dakwah dan penyebaran syiar Islam yang mana telah terbukti dengan bertambahnya ummah Islam seluruh dunia masakini. Jika dikaitkan dengan sejarah Islam di Negara Brunei Darussalam, Sultan Sharif Ali adalah salah satu contoh tokoh pelayaran yang bertanggungjawab memperkuatkan syiar Islam di Negara ini.

Kemajuan dalam teknologi telah membantu memperkasa sistem pengangkutan yang membolehkan perjalanan jauh serta meneroka ke seluruh dunia dengan lebih cepat dan efisien. Bagi memenuhi kehendak ketamadunan yang semakin meningkat, negara-negara sentiasa berlumba-lumba untuk mempermodenkan sistem pengangkutan dan menjadikannya lebih reliable dalam memudahkan pergerakan manusia, pemindahan barangan serta perkhidmatan ke tempat yang dituju, tepat pada waktunya. Kemajuan teknologi telah banyak membantu sistem pengangkutan untuk berevolusi dan menjadikannya berbagai sektor terutama sekali sektor sosiologi dan ekonomi.

Peranan dan pentingnya kedua-dua sistem perhubungan dalam pembangunan sektor-sektor berkenaan merupakan unsur penting yang berfungsi sebagai urat nadi kehidupan seharian yang menjamin kesejahteraan ummah. Tanpa adanya sistem yang berkesan sebagai pendukung, tidak akan dapat tercapai hasil yang memuaskan dalam usaha perkembangan sektor-sektor dan pembangunan sesebuah negara. 

Manfaat dan kegunaan kedua-dua bidang perhubungan ini memang sudah jelas kelihatan, akan tetapi tidak dinafikan terdapat juga kesan-kesan negatif dan cabaran yang dihadapi dari masa ke semasa. Manfaat yang hakiki bukanlah diukur berasaskan kecemerlangan perhubungan semata-mata yang bersifat material dan fizikal, sebaliknya dalam segenap kehidupan termasuk dalam aspek perhubungan hendaklah berasaskan kepada keberkatan yang didasari atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah subhanahu wata’ala.

Perkataan “berkat” adalah berasal daripada bahasa Arab iaitu “barakah” atau “mubarakah”. Ia bererti pertambahan, pertumbuhan, kebaikan, nikmat yang akan membawa ketenangan dan kebahagiaan di dunia serta di akhirat. Dalam al-Qur’an, Allah subhanahu wata’ala banyak menyebut berkaitan dengan keberkatan. Contohnya dalam Surah al-‘Araf ayat 96:

“Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi….”.

Ayat ini menjelaskan bahawa keberkatan yang Allah berikan kepada sesuatu penduduk negeri adalah bergantung kepada keimanan dan ketakwaan mereka. Dalam Tafsir al-Wasit, dinyatakan bahawa keberkatan yang dimaksudkan adalah dengan cara Allah mempermudahkan segala kebaikan kepada mereka dari segenap sudut.

Cabaran utama teknologi ialah bagaimana masyarakat dapat memastikan bahawa akhlak penggunaan adalah pada tahap yang terpuji dan cemerlang, serta tidak disalahgunakan. Pengangkutan juga mempunyai cabarannya yang tersendiri, antaranya penyalahgunaan pengangkutan ke arah perkara-perkara yang negatif dan merosakkan keharmonian dan kesejahteraan bermasyarakat seperti menggunakannya untuk tujuan yang tidak sihat dan sebagainya. Cabaran lain ialah kesesakan lalulintas yang semakin meningkat serta menyumbang kepada pencemaran udara. Sebahagian besar greenhouse emission daripada pengangkutan adalah pelepasan carbon dioxide(CO2) yang terhasil daripada pembakaran bahan produk berasaskan petroleum seperti petrol dan enjin pembakaran dalaman.   

Bagi menyahut cabaran-cabaran ini, masyarakat perlu memupuk dan memajukan budaya sistem perhubungan sihat dan selamat yang menuntut kita untuk memberi perhatian kepada pelbagai aspek dan dimensi. Pada zaman ini, memang terdapat kemajuan-kemajuan dalam bidang teknologi yang dapat mengurangkan perubahan iklim melalui kegunaan sumber-sumber non fosil. Oleh kerana dalam sistem teknologi yang canggih seperti yang terdapat pada zaman ini, cabang-cabangnya saling kait mengait antara satu sama lain, maka tugas dan peranan Negara dalam memajukan budaya teknologi dan pengangkutan yang sihat tidak dipikul oleh sesebuah Kementerian atau agensi Kerajaan sahaja. Tugas dan peranan ini melibatkan pelbagai bidang dan disiplin ilmu serta bidang profession. Diantaranya termasuklah aspek pendidikan, formal dan bukan formal, aspek penerangan, keagamaan, ekonomi, keselamatan dan sosio-budaya.

Tidak dinafikan perkara ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Dalam perkembangan sistem perhubungan masa kini, Negara Brunei Darussalam masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain. Dengan kekurangan yang dapat dirasakan telah menyukarkan negara untuk mencapai ‘mobility of people, goods and services’ seperti yang diharapkan.


TEMA

Atas kesedaran yang mendalam terhadap peri pentingnya aspek sistem perhubungan cemerlang lagi diberkati terhadap kesejahteraan ummah dan pembangunan serta kemajuan Negara Brunei Darussalam, maka adalah wajar Majlis Ilmu 2016 memilih tema yang relevan lagi sesuai dengan Wawasan 2035 dan selaras dengan falsafah MIB dan Negara Zikir iaitu Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Ummah.

Tema ini jua bertepatan dengan firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Isra ayat 70 yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (Manusia) dan Kami telah mengangkut mereka (dalam pelbagai kenderaan) di darat dan di laut dan Kami telah mengurniakan mereka rezeki yang baik serta Kami telah melebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang Kami telah ciptakan dengan kelebihan sempurna”.

Dari ayat tersebut, dapatlah difahami bahawa Allah subhanahu wata’ala memudahkan bagi anak Adam dengan pengangkutan-pengangkutan di daratan dan di lautan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik dalam mencari rezeki seharian. Ini dapat dicapai dengan ilmu yang  ada serta berpandukan kepada syariat Islam, yang dapat membentuk suatu budaya perhubungan yang lebih kondusif selaras dengan ketamadunan Islam yang berkembang pada masa kini.