Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation Linkslatar belakang 2018

Latar Belakang Majlis Ilmu 2018



FOKUS MAJLIS ILMU 2018

Majlis Ilmu 2018 merupakan sambutan Majlis Ilmu kali ke-TIGA BELAS (13) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2004. Majlis Ilmu 2018 pada kali ini akan memfokuskan kepada ekonomi, dengan penumpuan diberikan kepada pertanian dan perlaksanaan projek-projek tertentu.

Fokus ini adalah amat bertepatan dan sesuai untuk diberikan keutamaan pada Majlis Ilmu 2018 pada menjunjung tinggi titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memberikan penekanan akan kepentingan perkembangan ekonomi, terutamanya bidang pertanian dan dalam mendokong usaha-usaha ke arah perlaksanaan Wawasan Brunei 2035 bagi pencapaian ekonomi yang dinamik dan mampan.

Dalam usaha menjayakan penganjuran Majlis Ilmu 2018, tiga (3) Kementerian selain daripada Jabatan Perdana Menteri, iaitu Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, akan menganjurkan bersama acara-acara yang akan dirancang sebagai perisian utama semasa Majlis Ilmu 2018.


PERISIAN MAJLIS ILMU 2018

Perisian Majlis Ilmu 2018 pada kali ini adalah terdiri daripada:
- Perasmian Majlis Ilmu 2018 dan Perasmian Seminar Majlis Ilmu 2018, dan diteruskan dengan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2018;
- Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2018;
- Forum Perdana Majlis Ilmu 2018;
- Seminar Majlis Ilmu 2018; dan
- Pameran Majlis Ilmu 2018 (MajIEx2018).

Dengan acara-acara yang diaturkan ini ianya diharapkan akan dapat mencapai objektif Majlis Ilmu dengan hidangan ilmu dan maklumat yang mampu menterjemahkan dan menjelaskan peranan serta kesan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perkembangan dan pembangunan yang berkaitan dengan ekonomi negara, khususnya pertanian.



TEMA MAJLIS ILMU 2018

"Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara"

Tema ini dilihat dari sudut, Daya Tahan bagi Survivabiliti Bangsa dan Negara; Kelangsungan hidup bagi Survivabiliti Bangsa dan Negara; dan Kemampuan Bertahan bagi Survivabiliti Bangsa dan Negara.

Huraian tema

Pertanian adalah merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penghasilan atau pengeluaran makanan seperti perkebunan, penanaman dan penternakan. Pertanian di dalam konteks ini, juga termasuk sektor pertanian, agrimakanan dan perikanan, yang mana merupakan sebagai salah satu sektor penyumbang utama dan paling penting kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam. Manakala, survivabiliti membawa erti keupayaan, kelangsungan dan daya tahan untuk terus hidup. Maka, dalam hal ini, industri pertanian di sesebuah negara adalah diumpamakan tulang belakang sistem ekonomi yang penting bagi memastikan negara tersebut akan terus berdaya tahan tanpa pergantungan dari negara lain. 

Islam pada umumnya sangat menggalakkan aktiviti pertanian kerana peranannya bukan sahaja sebagai sumber utama untuk kelangsungan kehidupan manusia malah kepada makhluk lain. Kepentingan dan galakan tersebut jelas dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:



Maksudnya:
Carilah rezeki oleh kamu yang tersembunyi di dalam bumi.
(Hadits riwayat Imam ath-Thabarani)

Melalui hadits yang dinyatakan ini dapat difahami bahawa punca rezeki boleh dihasilkan dari permukaan bumi yang pada dasarnya meliputi kawasan daratan dan juga perairan. Justeru itu, dapat dilihat bahawa Islam sangat mendorong aktiviti pertanian (dan perikanan), yang lazimnya dijalankan di permukaan tanah, sungai dan laut, sebagai salah satu sumber pekerjaan dan sumber rezeki.

Dari sudut survivabiliti pula, kepentingan bertani bagi memastikan kelangsungan hidup dapat digambarkan melalui kisah Nabi Yusuf ‘alaihissalam. Kisah tersebut menceritakan bahawa Raja Mesir ketika itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering dan tafsiran mimpi oleh Nabi Yusuf ‘alaihissalam adalah seperti di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kitab suci al-Quran, Surah Yusuf, ayat 47-49:





Tafsirnya: 
47. Nabi Yusuf berkata: “Hendaklah kamu bercucuk tanam seperti biasa selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya (supaya ia tidak cepat rosak) kecuali sedikit untuk kamu makan.” 

48. “Kemudian akan datang sesudah itu tujuh tahun musim kemarau yang dahsyat yang akan menghabiskan bekalan makanan yang kamu sediakan untuk menghadapinya kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” 

49. “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang pada (ketika) itu manusia dikurniakan hujan dan mereka dapat memerah (hasil tanaman seperti anggur, zaitun dan lain-lain).”

Mengikut ayat di atas dan sejarah kehidupan Nabi Yusuf ‘alaihissalam Kerajaan Mesir pada ketika itu telah mengarahkan rakyat untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh di dalam mengusahakan pengeluaran makanan melalui aktiviti pertanian selama maltujuh tahun berturut-turut bagi memastikan keupayaan Negara Mesir untuk mampu bertahan (survivabiliti) bagi menghadapi cuaca kering pada tujuh tahun berikutnya. Jelas di sini pertanian adalah ibarat nadi yang memastikan kelangsungan hidup bagi manusia. Sehubungan dengan itu, dari aspek bangsa dan Negara Brunei Darussalam, sektor pertanian berperanan penting di dalam membekal bahan makanan yang mencukupi, selamat dan halal untuk dimakan oleh seluruh penduduk dan rakyat Negara ini dan memastikan Negara berupaya untuk berdikari (survive) tanpa pergantungan dengan import jika terjadinya kejadian yang menghalang kemasukan komoditi pertanian ke Negara ini yang boleh diumpamakan seperti kemarau di dalam kisah zaman Nabi Yusuf ‘alaihissalam. 

Tema ini dipilih sebagai dorongan kepada semua yang terlibat termasuk para pengusaha-pengusaha dalam bidang pertanian dan perikanan untuk terus melipat gandakan usaha mereka di dalam mempercepatkan pertumbuhan keluaran masing-masing, terutama sekali dengan mengadaptasikan teknologi yang bersesuaian dan mengamalkan pengurusan ladang yang baik bagi menjamin kualiti hasil ladang. Usaha tersebut adalah mustahak bagi mencapai matlamat untuk menjana perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor pertanian. Secara kesimpulannya, tema ini adalah berketepatan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan usaha ke arah membangun ekonomi melalui bidang yang dianggap utama, seperti bidang pertanian dan perikanan sebagai makanan asasi kita. Sektor ini perlu diberi keutamaan kerana ianya akan menentukan kelangsungan kita sebagai bangsa dan Negara yang merdeka serta berkemampuan bertahan bagi Survivabiliti Bangsa dan Negara.