Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTitah KDYMM Sempena Majlis Ilmu 2020

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN 
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM 
SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS ILMU 2020 SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-74 TAHUN

PADA HARI SELASA
29 RABIULAKHIR 1442 / 15 DISEMBER 2020

BERTEMPAT

Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien




Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, 
Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, Majlis Ilmu tahun ini masih saja dapat diungkayahkan, walaupun negara masih berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus.

Sehubungan itu, Beta berpendapat, kita masih saja tidak boleh leka dengan keadaan sekarang. Usaha dan langkah berjaga-jaga 
masih saja perlu diteruskan, dengan ayat-ayat alQur'an dan do'a-do'a terus diamalkan.

Sesuai dengan tema Majlis Ilmu pada tahun ini iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”, kita tidaklah wajar 
untuk lupa bersyukur di atas limpah kurnia Allah menyelamatkan kita dan negara dari wabak yang sedang menular itu.

Tema ini cukup relevan untuk dibincangkan oleh para ilmuan yang terdiri daripada para ulama, pakar perubatan dan kesihatan, 
serta juga ahli akademik. la tidak syak lagi adalah perkara penting, kerana kesihatan merupakan anugerah Allah yang amat berharga.

Sejajar dengan tuntutan ugama, maka inilah masanya untuk semua pihak komited dengan perkara kesihatan. 
Kerana itu juga dianggap satu cara untuk mengelakkan jangkitan wabak.

Pada hemat Beta, sesuai dengan suasana Majlis Ilmu, tidak syak lagi, perkara wabak koronavirus mustahak untuk dibuat kajian 
dan huraian termasuk mencari jawapan mengapa wabak ini alhamdulillah, dapat dikawal dengan berkesan di negara kita, 
adakah pada pendapat para ilmuan, bahawa diantara sebabnya ialah, kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, 
disamping secara konsisten menggunakan 'vaksin ketuhanan' berupa ayat-ayat alQur'an dan do'a-do'a?

Perkara ini penting, kiranya dengan kajian dan huraian itu akan dapat menyingkap sedikit hikmah disebalik kejadian. 
Sesungguhnya hikmah itu mampu untuk memberi impak kepada jiwa sebagai pengajaran.

Kita semua yakin, setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah. Kerana itu ia perlu 
difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu. Jika hikmah dapat diketahui walaupun sedikit, 
maka kesannya adalah mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita. Inilah harganya hikmah itu.

Beta dari dahulu lagi mengharapkan, supaya Majlis Ilmu berupaya, untuk memacu kesedaran berugama dan bermasyarakat.
Ia Beta lihat sebagai mampu untuk memainkan peranan khusus dalam bidang keilmuan dan dakwah,
iaitu apabila diantara acara-acaranya ialah berupa forum atau seminar dan ceramah. Ini semua tidak diragukan lagi 
adalah wadah ke arah penyibaran ilmu dan dakwah itu.

Beta optimis, Majlis Ilmu memang mampu untuk mencipta visi dan misi yang berkebajikan bagi negara. Kerana itu, adalah sesuai 
untuk ia terus diadakan dari tahun ke tahun untuk meraih manfaat daripadanya.

Akhirnya, Beta mendo'akan, semoga semua pihak yang berkenaan bagi menjayakan Majlis Ilmu ini, 
akan sentiasa dikurniakan dengan kesihatan, supaya mereka dapat terus berbakti melaksanakan khidmat masing-masing kepada negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***