Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

12.10.19 BKISHHB berpotensi jadi destinasi pelancongan Islam




Majlis Ilmu pada tahun ini disempenakan dengan perasmian Bangunan Kekal Balai. Sesuai dengan kefungsian balai ianya bukan hanya untuk mempamer semata-mata, bahkan juga konsep ketamadunan yang lebih menyeluruh.

''Maka beta sukacita menamakan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) , untuk menggantikan nama Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah,'' titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019, sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-73 Tahun.

Terdahulu, Kebawah DYMM bertitah pada tahun ini Majlis Ilmu memaparkan tema 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat'.

Menyentuh mengenai ketamadunan umat, titah baginda, pada biasanya akan mengimbas balik sejarah ketamadunan Islam di era kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad di zaman Pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rashid dan Khalifah Al-Ma'mun di mana aktiviti-aktiviti keilmuan seperti perbincangan, penyelidikan, penulisan dan penterjemahan telah diungkayahkan oleh 'Baitul Hikmah' yang berjaya melahirkan ramai para ilmuan seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Al-Ghazali serta ramai lagi.

Titah baginda, Baitul Hikmah pada ketika itu bukan sahaja merupakan perpustakaan, malahan juga tempat pertemuan para cendekiawan dan ilmuan.

''Pada hemat beta, balai yang kita ada sekarang juga ada mirip-miripnya dengan Baitul Hikmah, kerana balai ini juga berperanan sangat luas seperti mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarkan khazanah ilmu untuk kemajuan Islam dan umat seumumnya.'' Titah baginda.

Balai ini sejak ia ditempatkan sementara di Bangunan Darul Ifta' pada Ogos 2001, titah baginda, ianya telah menerima kunjungan kira-kira lebih seratus ribu pengunjung terdiri dari orang-orang kenamaan dan para pembesar, para pengkaji, penuntut dan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Kebawah DYMM seterusnya berharap balai ini akan benar-benar menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan.

Baginda juga ingin melihat komitmen institusi-institusi pengajian tinggi bagi sama-sama menjayakan aktiviti dan program keilmuan tersebut.

Pada hemat baginda, balai ini juga berpotensi untuk menjadi 'Pusat sehenti destinasi pelancongan Islam' atau 'one-stop Islamic tourism destination'. Maka sehubungan itu mustahaklah bagi kementerian dan jabatan yang berkenaan untuk memberikan komitmen padu masing-masing bagi kemajuan balai ini.

''Di sini beta dengan sukacita mengumumkan bahawa Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengurus dan mentadbirkannya.

Bersukut dengan suasana keilmuan pada pagi ini, beta tersuntik untuk menganugerahkan satu penganugerahan berprestij kepada seorang tokoh Ilmuan Negara Brunei Darussalam yang dinilai layak untuk menerimanya demi kerana keilmuan beliau dalam bidang pengkhususannya. Anugerah tersebut ialah berupa gelaran 'Profesor Kehormat','' demikian titah baginda pada menyentuh mengenai anugerah berprestij yang diberikan kepada seorang tokoh negara tersohor.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments