Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

12.10.19 BKISHHB pusat warisan Ilmu, ketamadunan Islam




Negara Brunei Darussalam melakar satu lagi sejarah dengan perasmian Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) yang dihasratkan untuk memperluaskan serta melestari keilmuan dan menjadikannya sebagai salah sebuah pusat khazanah warisan ilmu dan ketamadunan Islam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019 dan Perasmian Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terletak di Jalan Pengiran Babu Raja.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di sini, dijunjung oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Majlis Ilmu 2019.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Juga berangkat, puteri-puteri dan adinda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

Pada majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan Titah Perasmian Majlis Ilmu 2019 dan seterusnya berkenan merasmikan Bangunan Kekal Balai Khazanah Islam SHHB disusuli dengan Pengisytiharan Penerima Anugerah Keilmuan Negara yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Kebawah DYMM kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Keilmuan Negara Brunei Darussalam gelaran Profesor Kehormat kepada Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.

Majlis juga turut diisikan dengan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2019 bertajuk 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat' disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan diteruskan kemudian dengan bacaan selawat beramai-ramai dipimpin oleh para Siswa Diploma Qiraat 'Aliyah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti dengan Lagu Kebangsaan.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudian berkenan berangkat menandatangani Lembaran Kenangan berlangsung di ruang legar balai berkenaan.

Sejurus selepas Majlis Santap, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja kemudian berkenan menyertai sesi bergambar ramai bersama Ahli Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019 dan Penceramah-penceramah Majlis Ilmu 2019.

Kebawah DYMM berkenan menandatangani Plak Perasmian Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Baginda dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja seterusnya berkenan menyaksikan Mushaf Nurul Iman yang merupakan Al-Quran besar mengandungi 309 muka surat.

Mushaf tersebut merupakan pesambah rakyat Negara Brunei Darussalam ke hadapan majlis Kebawah DYMM pada Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-60 tahun.

Kebawah DYMM juga berkenan menerima pesambah berupa Mushaf dan Replika Balai Khazanah Islam tersebut dan disusuli dengan melancarkan Buku Khazanah Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.

Buku terbitan ketiga jabatan berkenaan dihasratkan dapat memberi ilmu dan maklumat berkaitan dengan Balai Khazanah Islam itu serta hasil kajian yang terdapat di galeri-galeri pameran.

Pada majlis itu, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja berkenan mengadakan lawatan ke sembilan buah galeri pameran yang menempatkan pelbagai koleksi khazanah ilmu-ilmu dan artifak warisan Islam.

Antara galeri-galeri yang terdapat di balai berkenaan adalah Kebestarian Raja; Mushaf; Rambut Mulia Rasulullah; Atsar-Atsar Sahabat Rasulullah; Warisan Ilmu I; Warisan Ilmu II; Tanda-tanda Kebesaran Allah; Astronomi dan Kesenian Islam: Tongkat dan Tasbih.

Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda dan adinda berserta kerabat diraja yang lain seterusnya berkenan melawat Taman Herba dan Surau Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebelum mengadakan lawatan ke Pameran Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Kemudian baginda dan kerabat diraja berkenan menyaksikan Pameran dan Ekspo Majlis Ilmu 2019 yang diisikan dengan pameran Ekspo Inovasi Produk-produk Tempatan Majlis Perundingan Kampung, di mana ekspo dibukakan kepada orang ramai sehingga 16 Oktober ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Koleksi-koleksi pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai beberapa kategori iaitu Mushaf, Manuskrip, Tongkat, Tasbih, Kreatif, Fosil, Coins, Astronomi, Saintis Islam, Pedang dan Artifak Rasulullah dan Nabi Musa, Rambut Mulia Nabi dan Aritifak Sahabat dan Quran Batu Marmar.

Majlis Ilmu 2019 merupakan salah satu acara sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto




Attachments