Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

12.10.19 Tokoh ilmuan tersohor dianugerahkan gelaran Profesor Kehormat




Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Anugerah Keilmuan Negara dengan gelaran Profesor Kehormat kepada Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.

Penganugerahan ini adalah sebagai penghargaan kepada Yang Berhormat sebagai tokoh Ilmuan Negara Brunei Darussalam yang dinilai layak untuk menerima, demi kerana keilmuannya dan merupakan seorang tokoh negara tersohor yang telah banyak menabur bakti dalam bidang pendidikan, budaya, sastera, sejarah dan agama di Negara Brunei Darussalam.

Tanpa kenal jemu, Yang Berhormat Pehin terus mencurah khidmat bakti dalam melakar dan seterusnya menerajui usaha-usaha demi meningkatkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan bagi manfaat pembangunan agama, masyarakat, bangsa dan negara.

Tokoh yang dilahirkan pada 28 April 1921 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Brunei pada tahun 1928 hingga 1935 dan kemudiannya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim pada tahun 1939 hingga 1941. Selepas mengikuti pengajian di Pusat Latihan Kanri Yosezyo, Kuching pada tahun 1944 hingga 1945, beliau kembali menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim pada tahun 1947 hingga 1948. Beliau juga belajar di Maktab Pertanian Serdang, Selangor pada tahun 1950 hingga 1951, sebelum meneruskan pembelajaran di City of Worcester Training College, United Kingdom pada tahun 1956 hingga 1957.

Penglibatan beliau dalam bidang pendidikan bermula pada tahun 1939 apabila ditugaskan sebagai Guru Pelatih. Tugas ini sekali gus meletakkan beliau sebagai salah seorang pengasas bidang perguruan di negara ini. Tokoh ini dilantik menjadi Penolong Guru Besar pada tahun 1948 hingga 1950 dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan seperti Pengurus Perkebunan Sekolah pada tahun 1951 hingga 1955, Ketua Nazir Rancangan Pemakanan dan Penasihat Kaedah Mengajar pada tahun 1957 hingga 1960, Pengarah Lembaga Bahasa pada tahun 1961 hingga 1964 dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1965 hingga 1976. Setelah bersara, khidmat beliau terus diperlukan berdasarkan kewibawaan yang dimiliki tokoh ini. Oleh itu beliau dilantik semula dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Penasihat kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1977 hingga 1981 dan menerajui Pusat Sejarah dari mula penubuhannya pada tahun 1982 sehingga kini.

Tokoh ini banyak menabur khidmat dalam beberapa jawatankuasa penting peringkat negara apabila beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Badan Penerangan Islam pada tahun 1958, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada tahun 1959, Ahli Lembaga Penasihat Brunei pada tahun 1959 hingga 1962, Ahli Majlis Mesyuarat Diraja pada tahun 1959 hingga kini, Ahli Jemaah Rancangan Kemajuan Negeri Brunei pada tahun 1959 hingga 1960, Pengerusi Lembaga Bahasa Taraf Kerakyatan pada tahun 1961, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mengenai Minyak dan Ekonomi Minyak, Ahli Jawatankuasa Lembaga Bandaran Brunei dan Ahli Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Tanah Negeri Brunei pada tahun 1962, Ahli Jawatankuasa Tawaran pada tahun 1970, Ahli Jawatankuasa Melesen Lembaga Bandaran pada tahun 1971, Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat pada tahun 1973, Pengerusi Majlis Pelajaran pada tahun 1973 hingga 1983, Ahli Jawatankuasa Mengawal dan Mengatur Perkhidmatan Televisyen Brunei pada tahun 1974, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Negara dan Ahli Jawatankuasa Pengurniaan Tambang Percuma Fardu Haji Kepada Pegawai-pegawai Kerajaan pada tahun 1975, Ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah pada tahun 1992, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Ahli Majlis Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Ahli Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja pada tahun 2010 hingga sekarang.

Sebagai tokoh yang mempunyai azam yang tinggi dan kukuh dengan pendirian terhadap ilmu, kebudayaan dan kenegaraan, beliau bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan. Tokoh ini merupakan salah seorang daripada pengasas Barisan Pemuda (BARIP) yang ditubuhkan pada tahun 1946. Pada tahun yang sama, beliau dilantik selaku Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Brunei yang dipimpin oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Omar 'Ali Saifuddien. Penerima Anugerah Keilmuan Negara ini dilantik menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei pada tahun 1948 hingga 1950, dilantik sebagai Penasihat Persatuan Asterawani pada tahun 1965 dan juga dilantik sebagai Penasihat Badan Kebudayaan pada tahun 1971.

Tugas dan tanggungjawab yang dipikul dalam pelbagai jawatankuasa dan organisasi tidak menghalang tokoh yang terkenal dengan nama pena 'Wijaya' ini aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1950-an, sehingga berjaya menghasilkan buku-buku dan esei mengenai sejarah, bahasa, sastera, budaya dan pendidikan. Sebagai seorang negarawan, beliau tidak lupa menunaikan tanggungjawab untuk mengongsikan dan membarigakan ilmu yang dimiliki. Justeru itu, tokoh ini aktif membentang kertas kerja dalam seminar, forum, simposium, kongres dan bengkel sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Hasrat beliau untuk membariga dan melestari sejarah Brunei menjadi pendorong kepada tokoh ini mengabdikan sebahagian besar kehidupannya dengan menyelidik, menulis dan menerbitkan dokumentasi mengenai sejarah dan budaya Negara Brunei Darussalam. Pada tahun 1980-an dan 1990-an, beliau aktif membuat penyelidikan sejarah ke beberapa buah negara di Timur Tengah, India, Republik Rakyat China, ASEAN dan juga beberapa buah negara Barat seperti United Kingdom, Belanda, Portugal, Sepanyol, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi.

Antara hasil penyelidikan beliau yang begitu menyerlah ialah tentang penyelidikan dan penyusunan purih keturunan Sultan-Sultan Brunei sejak dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam hingga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan salasilah hubungan Brunei dengan negara-negara alam Melayu. Malah dalam usaha untuk mendapatkan maklumat bagi penulisan sejarah Brunei dalam era selepas Perang Dunia Kedua sehingga zaman kemerdekaan, tokoh ini telah menemu bual beberapa pemimpin dan tokoh politik di kalangan negara-negara ASEAN yang mempunyai kaitan yang rapat dengan rintisan sejarah Brunei, termasuk golongan sejarawan untuk mengukuhkan lagi bukti dan fakta rujukan mengenai persejarahan Brunei.

Buku-buku dan artikel yang dihasilkan dan diterbitkan oleh tokoh ini termasuklah Sejarah Brunei Penggal I (bersama Yura Halim), terbitan The Brunei Press, Kuala Belait, 1958; Perlaksanaan Dasar Negara Melayu Islam Beraja, 1996; Islam in Brunei, Brunei Museum Jornal Vol IV, 1977; Satu Pemikiran Mengenai Corak Pendidikan untuk Brunei Darussalam Berasaskan Islam: Melalui Pengalaman dan Sejarah, 2008 dan lain-lain.

Penerima Anugerah Keilmuan Negara ini tidak jemu-jemu memberi sumbangan jasa dan budi untuk meningkatkan pendidikan dan memartabatkan agama serta berbudi pada bangsa dan negara. Sumbangan beliau yang bernilai ini telah mendapat 15 pengiktirafan dari negara dan pertubuhan tertentu.

Komitmen tinggi tokoh ini dalam mencurah jasa bakti kepada bangsa dan negara, telah mendapat pengiktirafan dengan penganugerahan sebanyak 14 anugerah iaitu Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam dan termasuk dari luar negara.

Jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh Yang Berhormat sebagai tokoh ilmuwan amat tinggi nilainya. Berbekalkan ilmu dan pengalaman, beliau mencurah bakti tanpa kenal penat dalam bidang pendidikan, keagamaan, persejarahan dan kebudayaan. Sumbangan tokoh ini tidak diragukan lagi memberi manfaat terhadap kemajuan agama, masyarakat, bangsa dan negara, masa kini dan akan datang.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments