Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

12.10.19 Manuskrip lambang kemajuan, mercu tanda ketamadunan bangsa




Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Majlis Ilmu 2019 berkata, manuskrip merupakan lambang kemajuan dan mercu tanda ketamadunan suatu bangsa.

Justeru, jelas Yang Berhormat, ia menjadi fokus ramai pihak di dunia untuk memilikinya kerana ilmu yang tertulis dalam manuskrip merupakan khazanah yang sangat berharga dan dalam hal ini tidak ketinggalan manuskrip jawi Melayu yang dikagumi oleh para sarjana Barat.

''Kepentingan manuskrip-manuskrip Islam di dunia Melayu ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Seperti yang diketahui, jelas Yang Berhormat, sejak dari abad ke-16 lagi, manuskrip ini telah menarik perhatian dunia Barat, bermula dengan sarjana-sarjana Belanda, Inggeris dan diikuti oleh lain-lainnya,'' ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2019 yang bertajuk 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat' berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.

Yang Berhormat seterusnya berkata, manuskrip-manuskrip jawi Melayu juga terdapat di perpustakaan-perpustakaan dan institusi-institusi unggul di dunia Barat, seperti University of Leiden dan British Library.

Tambah Yang Berhormat, lebih daripada 28 buah negara di dunia ada menyimpan manuskrip-manuskrip Islam tersebut.

''Melihat kepentingan dalam memelihara dan melestarikan salah satu khazanah Islam yang bernilai, justeru Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang tersergam indah ini menjadi bukti bahawa pemimpin tertinggi negara ini sangat prihatin dan memahami bahawa adalah signifikan untuk memperkasa manuskrip keilmuan Islam ini,'' ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata, Balai Khazanah Islam itu mengandungi sebanyak 4,733 bahan-bahan artifak dan manuskrip, 1,599 di antaranya ialah manuskrip-manuskrip Islam yang ditulis di dalam bahasa Arab, Melayu, Farsi, dan Urdu yang mana kebanyakan manuskrip ini adalah lengkap, asli, ditulis dengan tulisan tangan oleh penulis asalnya, dan berusia di antara 400, 500, 600, 800 dan lebih 1,000 tahun.

Jelas Yang Berhormat lagi, contoh manuskrip-manuskrip Islam utama yang terdapat di dalam Balai Khazanah Islam itu ialah manuskrip-manuskrip Mushaf Al-Quran dan Kitab Ihya 'Ulum al-Din yang ditulis oleh Imam al-Ghazali pada tahun 488 Hijrah bersamaan 1095 Masihi dan besar kemungkinan Balai Khazanah Islam itu mengandungi koleksi manuskrip-manuskrip Islam yang terbesar di dunia.

''Selain daripada manuskrip-manuskrip Islam, Balai Khazanah Islam ini juga menyimpan barang-barang artifak dan peninggalan yang disandarkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat Baginda. Sebahagian daripada artifak-artifak ini adalah asli dan sebahagiannya pula adalah replika. Contohnya, di dalam Balai Pameran Islam ini terdapat rambut, serban dan pedang mulia milik Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta replika pedang-pedang para sahabat Baginda,'' ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat menambah, manuskrip-manuskrip Islam di dalam Balai Pameran Islam tersebut dengan pelbagai bahasa mengandungi huruf-huruf Al-Quran dan setentunya ia mempunyai nilainya yang tersendiri, iaitu nilai kemuliaan dan keberkatan.

Jelas Yang Berhormat, tidak kira sama ada ianya ditulis di dalam bahasa Arab, Melayu, Farsi, ataupun Urdu, ini kerana setiap huruf di dalam kitab suci Al-Quran membawa satu ganjaran - contohnya lafaz Alif Lam, Mim (tiga huruf pertama di dalam Surah Al-Baqarah) membawa tiga ganjaran.

Dalam pada itu, tambah Yang Berhormat lagi, tinggalan atau aatsar juga terbukti melalui catatan sejarah mempunyai nilai keberkatan.

Seperti yang berlaku di Perang Khandaq pada tahun ke-5 Hijrah bersamaan 627 Masihi, jelas Yang Berhormat, sebelum Sayidina Ali Radhiallahu Anhu yang masih muda menghadapi dan berlawan dengan Amr bin al-Wud, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memakaikan serbannya dan pedangnya kepada Sayidina Ali, dan dengan berbekalkan kedua-dua tersebut, Sayidina Ali berjaya menumpaskan musuhnya dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Kesimpulannya, kata Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam adalah amat bernasib baik kerana mempunyai ketua negara yang bukan sahaja amat prihatin terhadap hal ehwal rakyat, namun turut mengangkat martabat khazanah-khazanah Islam yang mulia.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments