Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

14.10.19 Berangkat ke Forum Perdana Majlis Ilmu 2019




Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkenan berangkat ke Forum Perdana Majlis Ilmu 2019.

Berangkat sama ialah adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik berserta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pemangku Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat Majlis Ilmu 2019.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2019.

Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan bahawa tajuk Forum Perdana pada tahun ini iaitu, 'Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat' yang juga merupakan tema Majlis Ilmu Tahun 2019 yang mana Manuskrip Islam adalah merupakan warisan khazanah intelektual yang ditinggalkan oleh para ulama dan cendekiawan Islam silam dan ia mencerminkan tamadun sesuatu bangsa dan masyarakat.

Dalam konteks Alam Melayu atau Nusantara jelasnya, 'Manuskrip Melayu' memberikan pengertian mengenai hasil karya penulisan tangan, yang lazimnya ditulis menggunakan skrip Jawi dengan menggunakan versi Melayu yang dihasilkan sekitar abad ke 16 sehingga 19. 

"Sehingga ke hari ini, dianggarkan masih terdapat lebih dari 15,000 manuskrip berkaitan ketamadunan Melayu dari bermacam jenis koleksi tersimpan di pelbagai repositori dan perpustakaan di seluruh dunia. Bahkan koleksi tersebut bukan saja setakat berada di Alam Melayu, malahan ianya juga turut disimpan dan dipelihara di beberapa buah perpustakaan di seluruh dunia termasuk di Eropah, Amerika Syarikat, dan Timur Tengah," ujarnya.

Menurutnya lagi, kajian terhadap manuskrip-manuskrip ini khususnya manuskrip Islam dan Melayu ini hendaklah diteruskan khususnya oleh generasi pelapis akan datang demi mengekalkan khazanah warisan ulama dan cendekiawan silam dan menimbulkan kembali karya-karya mereka bagi mengelakkannya putus dan hilang ditelan zaman jika tidak dikaji dan diterbitkan.

Seterusnya Forum Perdana dimulakan oleh seramai empat orang ahli panel terdiri daripada Staf Ahli Menteri Agama Republik Indonesia dalam Bidang Manajemen Komunikasi dan Informasi, Profesor Dr. Osman Fathurahman; Penolong Mufti Kerajaan di Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof; Pengarah Sultan Omar Ali Saifuddien Centre of Islamic Studies (SOASCIS) di Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah; dan Profesor Dr. Jelani Harun dari Universiti Sains Malaysia.

Moderator forum ialah Profesor Madya Dr. Haji Awg Asbol bin Haji Mail dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim.

Sebelum berangkat balik meninggalkan majlis, DYTM berkenan menandatangani lembaran kenangan dan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2019.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments