Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

15.12.2020 : Islam sangat menitikberatkan kesihatan, asas pembangunan, kesejahteraan ummah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Disember. - Majlis Ilmu 2020, pada tahun ini, disambut dengan pemilihan tempat yang agak berbeza daripada kelaziman di tahun-tahun yang sudah, dengan format khas ini juga Masjid Omar 'Ali Saifuddien dipilih sebagai tempat berlangsungnya majlis ini, di mana ia mempunyai signifikan yang tersendiri.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Sambutan Majlis Ilmu 2020 sempena Perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-74, Tahun 2020, yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini, berkata, adapun pemilihan Masjid Omar 'Ali Saifuddien sebagai tempat berlangsungnya Majlis Ilmu pada tahun ini adalah bagi turut mengenang intelektualisme kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang telah banyak membawa perubahan kepada pembangunan negara dan kehidupan rakyat di negara ini, sama ada dari aspek ekonomi juga pendidikan sehingga Negara Brunei Darussalam (NBD) berjaya mencapai nikmat kemerdekaan.

 

''Pencapaian-pencapaian tersebut diteruskan dan jua diperkasakan lagi oleh baginda, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan mengisytiharkan NBD sebagai negara Melayu Islam Beraja, dan kemudiannya sebuah Negara Zikir yang menuju kepada negara Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur sehingga terus aman makmur serta mengecap kemajuan pembangunan yang sangat ketara. Pencapaian, kejayaan dan kemakmuran ini juga merupakan antara nikmat dan anugerah besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang mesti kita sentiasa syukuri dan pelihara,'' terang Yang Berhormat.

 

Selain itu, Yang Berhormat juga berkata, kepentingan mengungkayahkan Majlis Ilmu ini adalah kerana ia merupakan salah satu acara utama perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di samping mercu tanda kepimpinan intelektualisme baginda sebagai Pemimpin Islam yang amat menitikberatkan kepentingan ilmu, di samping ia juga sebagai wadah menghidangkan ilmu dan maklumat yang berguna kepada Rakyat juga Penduduk Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapan alu-aluan Yang Berhormat Menteri selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2020, juga turut menjelaskan Tema Majlis Ilmu 2020, iaitu 'Mensyukuri Ni'mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah'.

 

Menurut Yang Berhormat tema ini dipilih bagi mengambil kira pada masa ini situasi penularan pandemik COVID-19 yang melanda juga memberikan kesan yang besar, khususnya terhadap kesihatan dan perkembangan sosioekonomi yang dihadapi oleh dunia, termasuk NBD.

 

Tema ini, tambah Yang Berhormat, menjelaskan bahawa kesihatan merupakan nikmat dan amanah daripada Allah Subhanahu Wata'ala, di mana dengan kata lain, Islam sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan fizikal dan spiritual, di mana badan dan mental yang sihat merupakan asas kepada pembangunan dan kesejahteraan diri dan ummah, kesihatan juga menjadi asas utama bagi mencapai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

 

Selaras dengan tema pada tahun ini, majlis ilmu kali ini diselenggarakan bersama oleh JPM; Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); dan Kementerian Kesihatan.

Pada lazimnya, acara-acara utama Majlis Ilmu diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dimulai dengan acara Majlis Perasmian dan Ceramah Khas, kemudian diikuti dengan Majlis Forum Perdana, Ceramah Perdana, Seminar dan Pameran Majlis Ilmu yang juga turut dihadiri oleh para jemputan atau panel-panel penceramah dari luar negara.

 

Namun, menurut Yang Berhormat, Sambutan Majlis Ilmu tahun ini dibuat berlainan daripada format kelazimannya, namun format khas ini tetap memberikan 'audiences coverage' yang luas bagi rakyat di dalam dan luar negara.

 

"Berkesinambungan dengan format khas ini, Majlis Ilmu pagi ini akan diserikan dengan Ceramah Khas yang akan disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2020.

 

"InsyaaAllah beberapa acara sektoral juga turut diadakan, antaranya Rancangan Rampai Pagi Edisi Khas, Rancangan An-Nur, Khutbah Jumaat dengan tajuk berkaitan tema, Nadwah Khas, Ceramah-ceramah sampingan yang dikelola bersama oleh KHEU, Kementerian Kesihatan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan juga Rancangan Majalah TV Majlis Ilmu," jelas Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat juga berharap, format khas yang diaturkan ini akan dapat mencapai objektif Majlis Ilmu, iaitu hidangan ilmu yang mampu menterjemah dan menjelaskan peranan juga kesan kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai utama yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan dan kebersihan, termasuklah kesannya kepada pengukuhan kerohanian juga keimanan dalam agenda pembangunan negara.


Attachments