Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

15.12.2020 : Kesihatan Anugerah Allah Yang Amat Berharga

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Disember. - Kesihatan tidak syak lagi adalah perkara penting, kerana kesihatan merupakan anugerah Allah yang amat berharga.

 

Sejajar dengan tuntutan ugama, maka inilah masanya untuk semua pihak komited dengan perkara kesihatan kerana itu juga dianggap satu cara untuk mengelakkan jangkitan wabak.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut pada Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang disiarkan secara 'virtual' pada Majlis Ilmu 2020 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-74, Tahun 2020 yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

 

Terdahulu, Kebawah DYMM menekankan agar kita tidaklah wajar untuk lupa bersyukur di atas limpah kurnia Allah menyelamatkan kita dan negara dari wabak yang sedang menular itu, dan ini bersesuaian dengan tema Majlis Ilmu pada tahun ini, iaitu 'Mensyukuri Ni'mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah'.

 

Menurut baginda, tema ini cukup relevan untuk dibincangkan oleh para ilmuan yang terdiri daripada para ulama, pakar perubatan dan kesihatan, serta juga ahli akademik.

 

Dalam titah baginda, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, Majlis Ilmu tahun ini masih saja dapat diungkayahkan, walaupun negara masih berwaspada terhadap penularan wabak koronavirus.

Sehubungan itu, baginda berpendapat, kita masih saja tidak boleh Ieka dengan keadaan sekarang.

 

Usaha dan langkah berjaga-jaga tegas baginda, masih saja perlu diteruskan, dengan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa terus diamalkan.

 

"Pada hemat beta, sesuai dengan suasana Majlis Ilmu, tidak syak lagi, perkara wabak koronavirus mustahak untuk dibuat kajian dan huraian, termasuk mencari jawapan mengapa wabak ini alhamdulillah, dapat dikawal dengan berkesan di negara kita, adakah pada pendapat para ilmuan, bahawa di antara sebabnya ialah, kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, di samping secara konsisten menggunakan 'vaksin ketuhanan' berupa ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa?" titah baginda.

 

Baginda juga menegaskan, perkara tersebut penting, kiranya dengan kajian dan huraian itu akan dapat menyingkap sedikit hikmah di sebalik kejadian, kerana sesungguhnya hikmah itu mampu untuk memberi impak kepada jiwa sebagai pengajaran.

 

"Kita semua yakin, setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah. Kerana itu ia perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu. Jika hikmah dapat diketahui walaupun sedikit, maka kesannya adalah mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita. Inilah harganya hikmah itu," titah baginda lagi.

 

Baginda dari dahulu lagi mengharapkan, supaya Majlis Ilmu berupaya, untuk memacu kesedaran berugama dan bermasyarakat.

 

Baginda melihat, ia mampu untuk memainkan peranan khusus dalam bidang keilmuan dan dakwah, iaitu apabila di antara acara-acaranya ialah berupa forum atau seminar dan ceramah.

 

Ini semua, titah baginda, tidak diragukan lagi adalah wadah ke arah penyebaran ilmu dan dakwah itu.

 

Baginda juga optimis Majlis Ilmu memang mampu untuk mencipta visi dan misi yang berkebajikan bagi negara.

 

Kerana itu, baginda mengharapkan agar ia terus diadakan dari tahun ke tahun untuk meraih manfaat daripadanya.

 

Sebelum mengakhiri Titah Perutusan Khas, baginda mendoakan semoga semua pihak yang berkenaan bagi menjayakan Majlis Ilmu itu, akan sentiasa dikurniakan dengan kesihatan, supaya mereka dapat terus berbakti melaksanakan khidmat masing-masing kepada negara.


Sumber Pelita Brunei Online


Attachments