Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

16.01.2021 - Jaga kesihatan, penjagaan jantung kita

KUALA BELAIT, Sabtu, 16 Januari. - Hidup yang sihat adalah satu kemestian dalam diri kita dan ke arah itu, kita perlu tahu dengan lebih lanjut mengenai Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (Non-Communicable Diseases - NCDs), bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan mengikut Sunah juga pemeriksaan kesihatan secara percuma.

 

Sehubungan itu, forum bertajuk 'Jantung Hatiku' diadakan hari ini, di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait sempena Sambutan Majlis Ilmu 2020. Forum dianjurkan oleh Pihak Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan Majlis Ilmu 2020.

 

Hadir selaku tetamu khas pada forum tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput, Pemangku Penghulu Mukim Labi selaku Ketua Kampung Labi I.

 

Ahli-ahli panel forum, terdiri daripada wakil Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili; dan wakil dari Kementerian Kesihatan, Konsultan, Ketua Unit Kardiologi, Dr. Mohamad Ezambin Emran.

 

Manakala moderator bagi forum berkenaan, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yusof bin Haji Abd. Majid.

 

Forum itu diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan, terutama sekali penjagaan jantung dari aspek perbuatan dan kerohanian.

 

Selain forum, pameran berkaitan dengan kesihatan juga diadakan di masjid berkenaan, di samping beberapa aktiviti, seperti pemeriksaan dan kuiz kesihatan.

 

Para jemputan juga berpeluang menyaksikan beberapa buah pameran mengenai kesihatan, pemakanan sihat yang merangkumi NCDs, faktor dan risiko, pemakanan sunah, kegiatan fizikal, tidak merokok, kesihatan mental dan sesi pemeriksaan kesihatan.

 

Pada pameran tersebut, orang ramai yang berkunjung diberikan penerangan mengenai kesihatan dan kesempatan membuat pemeriksaan tahap BMI juga tekanan darah.

 

Forum dan pameran sempena Majlis Ilmu 2020 itu diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, KHEU, UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.

 

Orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn' dan media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020, iaitu Instagram 'mi.brunei2020' juga Facebook 'Majlis Ilmu 2020' bagi maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; dan Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohd. Aliyani bin Ismail.


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31142


Attachments