Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

24.01.2021 - Obesiti tidak hanya melanda orang dewasa

MUARA, Ahad, 24 Januari. - Agama Islam merupakan agama nasihat sebagaimana yang terkandung dalam sebahagian Surah Al-Asr di mana Islam mementingkan perihal ingat mengingati sesama insan.


Dalam pada itu Islam juga tidak menghalang untuk menikmati rezeki berupa makanan dan mengingatkan di dalam Islam ada mengajarkan umatnya agar jangan berlebih-lebihan serta mengelak pembaziran.


Di Negara Brunei Darussalam (NBD) semenjak 10 tahun kebelakangan ini, trend penyakit tidak berjangkit (NCD) jelas meningkat.


Penyakit obesiti merupakan salah satu contoh NCD yang terjadi di mana pengumpulan lemak dalam badan yang berlebihan disebabkan polar makan seharian yang tidak seimbang dan didorong oleh amalan cara hidup yang tidak aktif di samping mengalami gejala stres dan tidur tidak mencukupi.


Selain itu, penyakit obesiti juga boleh menyebabkan terjadi penyakit lain seperti strok, kencing manis, jantung, penyakit sendi dan kepada wanita obesiti juga boleh menyebabkan penyumbang kepada tidak 'fertile'.


Menurut kajian obesiti tidak hanya melanda orang dewasa malah turut didapati berlaku dalam kalangan penuntut yang berumur antara 13 hingga 17 tahun di negara ini.


Perkara tersebut antara yang terkandung dalam forum sempena Majlis Ilmu 2020 diungkayahkan oleh pihak Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan Majlis Ilmu 2020 bertajuk 'Obes dan Diabetes' yang berlangsung di Masjid Setia Ali, Pekan Muara, di sini.


Hadir selaku tetamu khas pada forum tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Pegawai Perubatan, Unit NCD, Kementerian Kesihatan, Dr. Pengiran Md. Khairulhazman bin Pengiran Dato Paduka Haji Othman dan Dekan Fakulti Syariah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar serta moderator forum ialah Awang Haji Yusli bin Haji Ashlia.


Forum tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan, terutama sekali dalam penyakit Diabetes dan masalah Obesiti.


Forum sempena Majlis Ilmu 2020 ini diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, KHEU, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan KUPU SB di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.


Beberapa forum dan pameran juga telah dan akan diadakan di masjid-masjid, dewan-dewan kemasyarakatan dan kompleks membeli-belah di keempat-empat daerah sepanjang bulan Januari sehingga bulan Februari tahun ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.


Acara berikut yang akan diadakan adalah sebuah forum bertajuk 'Mental Ku eh' di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Daerah Temburong pada Sabtu, 16 Jamadilakhir 1442H bersamaan dengan 30 Januari 2021 pada jam 9.00 pagi.


Selain forum, pameran berkaitan dengan kesihatan juga akan diadakan di Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong pada hari tersebut dengan pengisian beberapa aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan dan kuiz kesihatan. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghadiri forum dan pameran tersebut.


Bagi maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang  'www.majlisilmu.gov.bn' dan media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020 iaitu Instagram '@mi.brunei2020' dan Facebook 'Majlis Ilmu 2020'.


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31294


Attachments