Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

30.01.2021 - Tingkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan


TEMBURONG, Sabtu, 30 Januari. - Bersempena dengan Majlis Ilmu 2020 yang bertemakan 'Mensyukuri Ni'mat Kesihatan sebagai Anugerah Allah', Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengendalikan beberapa aktiviti sampingan bersempena dengan majlis tersebut.


Antara lain aktiviti promosi kesihatan yang dicadangkan adalah berunsurkan pameran / jerayawara, pemeriksaan kesihatan dan ceramah / forum kesihatan.


Pegawai Pelajaran Kesihatan, Dayang Siti Munawwarah binti Awang Tarif semasa ditemui berkata bahawa pengisian pameran yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie hari ini antara lain memfokuskan mengenai Maqasid Syariah, Café Sunnah dari UNISSA yang mengetengahkan corak pemakanan sihat dari aspek sunnah selain dari pemakanan sihat khususnya mengenai pemakanan rendah garam, makanan pilihan lebih sihat.


Pameran juga membarigakan mengenai demo sembahyang, wuduk dan tayamum semasa sakit, di samping kesihatan mental, kesihatan mulut dan juga menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan BMI, BP, gula dalam darah dan kolesterol dalam darah.


Tujuan mengadakan aktiviti sampingan tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai isu kesihatan, menerapkan dan melestarikan tingkah laku kesihatan positif dari awal dengan mengambil kira aspek kesihatan dan Islam selaras dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah serta menghargai anugerah dan nilai kesihatan serta perkhidmatan dan program kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan.


Forum dan pameran sempena Majlis Ilmu 2020 diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, KHEU, UNISSA dan KUPU SB di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan bagi Sambutan Majlis Ilmu 2020.


Sebarang maklumat lanjut mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2020, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn' dan media sosial rasmi Majlis Ilmu 2020 iaitu Instagram '@mi.brunei2020' dan Facebook 'Majlis Ilmu 2020'.


http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31402


Attachments