Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
SERUSOP, Khamis, 4 Februari. - Risiko untuk kanser bergantung kepada jenis kanser dan secara umum faktor-faktor yang boleh mengakibatkan kanser melalui faktor yang tidak dapat dikawal, iaitu umur (kebanyakan kanser seperti kanser usus dan paru-paru), jantina, bangsa dan juga keturunan.
Sementara faktor yang boleh dikawal dengan perubahan cara hidup, antaranya merokok, kawalan berat badan, pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, alkohol, jangkitan kuman seperti HPV virus untuk kanser pangkal rahim, Hepatitis B untuk kanser hati, sinaran matahari dan juga pendedahan kepada bahan kimia (masa pekerjaan).
Konsultan Perubatan Onkologi Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dr. Radin Mas Jefri bin Radin Mas Ismail menjelaskan perkara tersebut semasa Forum 'Kanser : Pencegahan dan Rawatan' sempena Majlis Ilmu 2020 yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, di sini, hari ini.
Hadir bagi mengimarahkan majlis tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku Penghulu Mukim Kota Batu dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang serta para pegawai kanan kerajaan.
Beliau menjelaskan, kanser yang paling kerap adalah kanser payudara dan kanser usus besar, diikuti dengan kanser paru-paru.
Bagi kaum wanita, tiga kanser yang paling kerap adalah kanser payudara, kanser usus besar dan kanser peranakan (rahim). Sementara bagi kaum lelaki, kanser yang paling kerap adalah kanser usus besar, kanser paru-paru dan juga kelenjar prostat.
Adapun simptom kanser juga tambahnya, bergantung kepada jenis-jenisnya, contohnya kanser paru-paru, iaitu sakit dada, batuk yang tidak sembuh, kahak berdarah, sesak nafas, manakala kanser payudara adalah benjolan pada buah dada, puting payudara merubah bentuk atau kulitnya menjadi merah atau bebintik, sementara kanser usus pula, ada pertukaran dalam kekerapan membuang air besar, darah pada najis atau najis menjadi hitam dan susut badan.
Kebanyakan masa apabila seseorang ada rasa lemah lesu yang tidak ada sebab musabab atau susut atau kurang berat badan yang tidak dirancang atau kurang selera makan yang berterusan, mungkin adalah petanda ada kemungkinan adanya penyakit kanser.
Sementara itu, Ketua Jabatan Radiation Oncologist PJSC, Dr. Haji Jamsari bin Dato Dr. Haji Khalid juga mengetengahkan salah satu jenis kanser prostat bagi lelaki yang juga antara kes di negara ini.
Kedua-dua ahli panel juga menerangkan bahawa cara yang paling berkesan dan terbukti adalah pencegahan, iaitu dengan mempraktikkan cara hidup yang sihat, seperti berhenti merokok, bersenam, menjaga pemakanan. Tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan risiko kanser dengan masa.
Inti pati forum juga menggariskan mengenai jenis-jenis rawatan kanser adalah pembedahan, Rawatan Kemoterapi, Radioterapi, Immunoterapi dan juga rawatan hormon untuk sesetengah kanser.
Dua matlamat tujuan rawatan, iaitu kesembuhan (curative), iaitu pesakit sembuh 100 peratus dan juga paliatif (menahan kanser), di mana pesakit hidup lebih lama dan beban kanser, seperti lemah lesu, kesakitan, sesak nafas dan benjolan berkurangan.
Beban kanser yang dihadapi memberi kesan pada individu, keluarga dan juga negara. Jika kanser peringkat awal, boleh kembali bekerja, belajar dan juga menjaga anak. Manakala kanser peringkat IV memerlukan rawatan secara berterusan. Bukan itu sahaja, ia juga melibatkan kos tinggi dari segi kewangan, mental dan fizikal pesakit dan penjaga, kehilangan tenaga pekerja, ibu dan juga anak.
Kesan sampingan rawatan, antaranya pesakit diberitahu matlamat setiap rawatan, termasuk kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan maklumat lisan dan bertulis, mendapat kebenaran untuk merawat (consent), pemantauan semasa dan selepas rawatan.
Jika berlaku kesan sampingan, dos rawatan akan dikurangkan atau rawatan dihentikan.
Dari segi pemantauan (surveillance) pula, beberapa perkara akan dijalankan, seperti memeriksa tubuh badan (fizikal), pemeriksaan payudara dengan mamografi setiap tahun, memastikan pesakit mengambil ubat hormon (jika ada) dan kesan sampingan.
Pesakit juga akan ditanya jika ada petanda-petanda atau simptom yang meragukan, antaranya sakit tulang, pening kepala, susut badan dan juga memberi nasihat mengenai menjaga kesihatan serta pengawasan mental dan seksual pesakit.
Forum dimoderatorkan oleh Pengarah Pusat Pengajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim.
http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=31481