Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

04.11.2021 - Majlis Ilmu hidangkan pelbagai ilmu pengetahuan yang relevan, semasa

- BAGI menyemarakkan Sambutan Majlis Ilmu 2021 kali ini dan meneruskan usaha untuk menjadikan Majlis Ilmu sebagai salah satu platform perkongsian ilmu, Yang Berhormat sukacita mengongsikan rancangan-rancangan Majlis Ilmu 2021, yang berupa format baharu tanpa melibatkan perhimpunan ramai secara fizikal.

- PERTAMA, penerbitan sebuah video dengan judul, 'Rancangan Khas Majlis Ilmu Membawa Berkah', yang merupakan sebuah rancangan berbentuk Doku-Majalah yang memaparkan latar belakang dan perjalanan Sambutan Majlis Ilmu sejak ia mula diperkenalkan, pada tahun 2004 hingga tahun 2021.

- KEDUA, Ceramah Khas mengenai tema Majlis Ilmu 2021 oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

- KETIGA, sesi Wawancara Khas bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ilmu, yang berkisar tentang iktibar COVID-19 dari konteks kemasyarakatan dan hal ehwal sosioekonomi masyarakat.

- AKHIR sekali, sesi Wawancara mengenai buku Majlis Ilmu, yang dihasilkan oleh Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos selaku Penulis dan Penyusun buku Sejarah Majlis Ilmu. Demikianlah, seberapa sedikit perkongsian tentang perisian Sambutan Majlis Ilmu pada kali ini, yang membawa tema, 'COVID-19 : Satu Iktibar'.




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 4 November. - Mengambil kira negara masih dalam keadaan berjaga-jaga disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 di negara ini, maka penganjuran Sambutan Majlis Ilmu, tahun ini, disesuaikan dengan langkah-langkah pencegahan dan lebih kepada memanfaatkan platform digital media, termasuklah mengguna pakai kaedah media info bersesuaian lainnya.


Hal ini, adalah bertepatan dengan sasaran kerajaan untuk beralih atau memperluaskan peningkatan penggunaan penyampaian perkhidmatan seiring dengan kemajuan teknologi, Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0).


Penganjuran Sambutan Majlis Ilmu Tahun 2021 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 Tahun dan acara-acara seumpamanya juga adalah mengambil kira pada Business Continuity Plan (BCP), sebagaimana yang telah disusun dan dirancang dengan penuh teliti.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu Tahun 2021 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 Tahun, berucap demikian, dalam Ucapan Khas Majlis Ilmu 2021, dalam rancangan Rampai Pagi Edisi Khas sempena Majlis Ilmu 2021, yang disiarkan di Radio Televisyen Brunei, di sini.


Walau apa pun pendekatan yang diambil dalam mengendalikan majlis yang sangat signifikan ini, jelas Yang Berhormat, apa yang pasti ialah hasrat yang tersurat dan tersirat juga mesej penting yang ingin diterjemahkan menerusi sambutan tahunan ini, akan terus sahaja menjadi keutamaan kepada kita semua, apatah lagi ia disempenakan dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Pada tahun lepas, Sambutan Majlis Ilmu juga diadakan dalam format yang berlainan, di mana acara utama pada ketika itu, yang mengambil tempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, pada 15 Disember 2020, disemarakkan dengan Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang antara lain, menyentuh tentang ''Setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah, yang perlu difahami dan dipelajari, sebagai mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita''.


Bahawasanya, inti pati titah baginda berkenaan, jelas Yang Berhormat lagi, adalah bersukut dengan tema Sambutan Majlis Ilmu, pada masa itu, iaitu 'Mensyukuri Ni'mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah'.


Berbalik semula pada hasrat utama Majlis Ilmu ini, ia adalah sebagai salah satu acara utama perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang diungkayahkan oleh Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu sejak tahun 2004.


Selain menjadi landasan bagi menghidangkan pelbagai ilmu pengetahuan yang relevan dan semasa kepada rakyat juga penduduk di negara ini, Majlis Ilmu adalah juga merupakan manifestasi kepimpinan intelektualisme Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khasnya kedudukan baginda sebagai Pemimpin Islam yang amat menitikberatkan kepentingan ilmu untuk seluruh lapisan Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam.


Dalam ucapan khas itu juga, Yang Berhormat turut mengongsikan mengenai tema Majlis Ilmu tahun ini, iaitu 'COVID-19 : Satu Iktibar', di mana menurutnya, adalah mengambil kira impak situasi sekarang yang sekelip mata mengubah wajah kehidupan masyarakat dunia secara keseluruhan, dan dalam konteks negara pula, perubahan juga kesan yang berlaku, bukan saja terhadap sosio kehidupan masyarakat, bahkan juga terhadap sosioekonomi dan hal ini, semakin terkesan sejak bermulanya gelombang kedua penularan jangkitan tempatan COVID-19, di negara ini.


Pemilihan tema 'COVID-19 : Satu Iktibar' juga adalah bertujuan bagi memberikan kesedaran dan menjadikannya sebagai satu panduan untuk melihat dari sudut juga sisi positif, dari apa yang berlaku, pada ketika ini.


''Walaupun pada zahirnya, semua yang dialami dan dirasai hanyalah kepayahan, kegetiran, kesukaran dan kesengsaraan semata-mata. Setentunya setiap musibah, bala atau peringatan yang berlaku adalah takdir Allah Subhanahu Wata'ala, yang hakikatnya mempunyai beribu kerahsiaan, pengajaran besar, serta hikmah di sebaliknya.


''Di sinilah setiap kekuatan dan juga kelemahan yang ada pada diri individu atau institusi akan terserlah dengan nyata di dalam kita mengharungi apa yang berlaku. Setelah segala kelemahan tersebut dapat dilihat dan disedari, maka itulah masanya kita bermuhasabah untuk bangkit memperbaiki apa yang lemah dan meningkat usaha dalam memantapkannya,'' jelas Yang Berhormat


Sehubungan ini, bagi menyemarakkan lagi Sambutan Majlis Ilmu 2021 kali ini dan meneruskan usaha untuk menjadikan Majlis Ilmu sebagai salah satu platform perkongsian ilmu, Yang Berhormat sukacita mengongsikan rancangan-rancangan Majlis Ilmu 2021, yang berupa format baharu tanpa melibatkan perhimpunan ramai secara fizikal.


Pertama, penerbitan sebuah video dengan judul, 'Rancangan Khas Majlis Ilmu Membawa Berkah', yang merupakan sebuah rancangan berbentuk Doku-Majalah yang memaparkan latar belakang dan perjalanan Sambutan Majlis Ilmu sejak ia mula diperkenalkan, pada tahun 2004 hingga tahun 2021.


Kedua, Ceramah Khas mengenai tema Majlis Ilmu 2021 oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Ketiga, sesi Wawancara Khas bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ilmu, yang berkisar tentang iktibar COVID-19 dari konteks kemasyarakatan dan hal ehwal sosioekonomi masyarakat.


Akhir sekali, sesi Wawancara mengenai buku Majlis Ilmu, yang dihasilkan oleh Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos selaku Penulis dan Penyusun buku Sejarah Majlis Ilmu. Demikianlah, seberapa sedikit perkongsian tentang perisian Sambutan Majlis Ilmu pada kali ini, yang membawa tema, 'COVID-19 : Satu Iktibar'.


Justeru, Yang Berhormat juga mengingatkan, bahawa COVID-19 adalah satu ujian, apapun keadaan kita pada masa ini, janganlah lupa untuk kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas teguran dan peringatan kasih inilah kita sedar, bahawa kita telah leka, alpa dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita semua sebelum ini, sehingga kita terlalu lalai di dalam menikmatinya.


Lalai daripada mengingati Allah, lalai daripada bersyukur kepada-Nya, lalai dalam kegembiraan yang jauh menyimpang daripada mengingati-Nya, dan hakikatnya, itulah yang telah kita lakukan.


Sumber: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=37283


Attachments