Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

06.11.2021 - Wawancara Khas Majlis Ilmu 2021 Bersama Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman


- CABARAN-CABARAN yang kita hadapi sekarang insyaaAllah akan dapat kita tangani dengan menggunakan pendekatan yang sama, iaitu Whole of Government dan Whole of Nation.

 

- DARI kaca mata biasa, COVID-19 adalah satu penyakit, tetapi dari perspektif Tauhid, daripada ilmuwan agama, menerusi siri-siri ceramah dan pandangan agama yang kita ikuti sepanjang tempoh COVID-19 ini, ia adalah tentera Allah Subhanahu Wata'ala, yang dikirimnya untuk menegur, memperingat atau menghukum perbuatan manusia masa ini.

 

- KEBAWAH Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan penggunaan vaksin ketuhanan, dengan sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, dengan memperbanyakkan doa, melakukan istighfar dan taubat terhadapnya.

 

- INI, termasuk sembahyang hajat, berzikir, membaca Qunut Nazilah, membaca Surah Yaa Siin dan lain-lain, di samping mematuhi piawaian antarabangsa, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

- BAGINDA juga menitahkan kita untuk komited dengan psikologi, iaitu bersabar dan bertenang juga yakin kepada pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala.

 

- DARI perspektif individu, keluarga dan masyarakat, Yang Berhormat menggariskan, bahawa COVID-19 memupuk, membentuk dan menjadikan seorang individu, keluarga dan masyarakat lebih berdisiplin kerana sikap berdisiplin ini lebih penting lagi bagi mereka yang berugama Islam.

 

- DARI segi masyarakat pula, kita memelihara juga mengamalkan disiplin dengan mematuhi arahan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan sepertimana yang berlaku, pada tahun 2020.

 

- PANDEMIK ini juga menimbulkan kesedaran kepada rakyat dan penduduk, menjadikan mereka sebagai masyarakat yang bersedia berkhidmat juga menyumbang.

 

- KETIKA negara dilanda COVID-19, ramai barisan sukarelawan tampil ke hadapan bagi sama-sama memberikan bantuan, dari segi tenaga, wang ringgit dan barangan.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 6 November. - COVID-19 mengubah landskap dunia dan tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam, di mana berbagai pengalaman diraih juga pengetahuan diperoleh sejak berlakunya penularan wabak COVID-19 ini.

 

Tidak dinafikan, COVID-19 memberikan impak yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan dan yang nyata, akan hampir dua tahun kita hidup dalam suasana norma baharu.

 

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2021 menyatakan demikian, dalam Wawancara Khas sempena Majlis Ilmu 2021, melalui Rancangan Rampai Pagi, yang disiarkan di RTB Perdana, di sini.

 

Jika kita imbas kembali gelombang pertama, tegas Yang Berhormat, dalam beberapa bulan selepas COVID-19 melanda negara ini, yang dilaporkan pada 9 Mac 2020, orang ramai sudah dapat menyesuaikan diri dengan mengamalkan protokol kesihatan dan mengamalkan kehidupan seharian dalam norma baharu.

 

Dalam hubungan ini, katanya, cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang insyaaAllah akan dapat kita tangani dengan menggunakan pendekatan yang sama, iaitu Whole of Government dan Whole of Nation.

 

Menurut Yang Berhormat, Kerajaan Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat secara amnya telah mengambil langkah-langkah yang berkenaan bagi sama-sama menangani cabaran-cabaran yang kita hadapi.

 

Menyentuh mengenai tema Majlis Ilmu 2021, iaitu 'COVID-19 : Satu Iktibar', Yang Berhormat menjelaskan, tema ini adalah tepat pada masanya dan signifikan, di mana skopnya amat luas.

 

Yang Berhormat menekankan, bahawa kita boleh melihat daripada perspektif perubatan dan kesihatan, ugama, ekonomi, sosial, pendidikan, politik, teknologi, komunikasi dan sebagainya.

 

Dari kaca mata biasa, COVID-19 adalah satu penyakit, tetapi dari perspektif Tauhid, daripada ilmuwan agama, menerusi siri-siri ceramah dan pandangan agama yang kita ikuti sepanjang tempoh COVID-19 ini, ia adalah tentera Allah Subhanahu Wata'ala, yang dikirimnya untuk menegur, memperingat atau menghukum perbuatan manusia masa ini.

 

''Ini sesuai dengan maksud ayat 31, Surah As-Sajdah, iaitu, ''Dan demi sesungguhnya kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar, iaitu azab akhirat supaya mereka rujuk kembali bertaubat''.

 

Perkara ini, menjadi sunnatullah sepanjang zaman. Ia terjadi di Zaman Nabi Nuh, Nabi Musa dan Nabi Sulaiman dengan banjir besar yang memusnahkan kaum yang derhaka.

 

''Di zaman Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Luth dan Nabi Syu'aib, dengan berbagai bencana alam, seperti angin ribut, petir dan gempa bumi,'' ujar Yang Berhormat.

 

Dalam hubungan ini, terang Yang Berhormat, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dikurniakan seorang raja yang bijaksana, berwibawa dan sentiasa menitikberatkan kesejahteraan rakyat, iaitu Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah menitahkan penggunaan vaksin ketuhanan, dengan sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, dengan memperbanyakkan doa, melakukan istighfar dan taubat terhadapnya.

 

Ini, adalah termasuk sembahyang hajat, berzikir, membaca Qunut Nazilah, membaca Surah Yaa Siin dan lain-lain, di samping mematuhi piawaian antarabangsa, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Tambah Yang Berhormat, baginda juga menitahkan kita untuk komited dengan psikologi, iaitu bersabar dan bertenang juga yakin kepada pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Kalau kita melihat dari perspektif individu, keluarga dan masyarakat, Yang Berhormat menggariskan, bahawa COVID-19 memupuk, membentuk dan menjadikan seorang individu, keluarga dan masyarakat lebih berdisiplin kerana sikap berdisiplin ini lebih penting lagi bagi mereka yang berugama Islam.

 

''COVID-19 melatih dan memperkukuhkan disiplin diri dalam beribadat, dan dalam kehidupan seharian.

 

''Sepertimana protokol kesihatan, kita dikehendaki untuk sentiasa mengamalkan mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai sungkup muka, menjaga penjarakan sosial, mengimbas kod QR apabila memasuki satu premis dan memeriksa suhu badan, selain mandi selepas tiba di rumah, selepas bekerja dan sebagainya.

 

''Kita juga perlu menjaga kebersihan rumah dan semua prasarana, dan ini, sebenarnya adalah suatu yang dituntut oleh agama Islam,'' jelas Yang Berhormat.

 

Menurut Yang Berhormat lagi, sepanjang gelombang pertama dan dalam gelombang kedua ini, kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pergerakan dan meniadakan perkumpulan ramai atau 'mass gathering'.

 

Yang Berhormat menyatakan, kita lebih banyak berada di rumah bersama keluarga dan secara tidak langsung, kita telah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, di mana kita lebih banyak masa bergaul, berinteraksi, membuat kerja bersama-sama, bersembahyang berjemaah, membaca Al-Quran dan lain bersama keluarga.

 

Di masa biasa, tambahnya, dalam kesibukan semua ahli keluarga dengan aktiviti kehidupan masing-masing, kita sering menggalakkan keluarga dan menekankan mustahaknya keluarga memperuntukkan masa yang berkualiti atau 'quality time' untuk bersama keluarga.

 

Kita sekarang mempunyai peluang menjadikan masa pengawalan pergerakan ini sebagai 'quality time' dan memanfaatkannya.

 

Dari segi masyarakat pula ujarnya, kita memelihara juga mengamalkan disiplin dengan mematuhi arahan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan sepertimana yang berlaku, pada tahun 2020.

 

Menurut Yang Berhormat, masyakat berdisiplin menyumbang pada cepatnya negara mengawal jangkitan COVID-19 dan memudahkan kerajaan melaksanakan pelan 'de-escalation'.

 

Pandemik ini juga menimbulkan kesedaran kepada rakyat dan penduduk, menjadikan mereka sebagai masyarakat yang bersedia berkhidmat juga menyumbang.

 

Ketika negara dilanda COVID-19, ramai barisan sukarelawan tampil ke hadapan bagi sama-sama memberikan bantuan, dari segi tenaga, wang ringgit dan barangan.

 

''Kita perlu sentiasa memberi galakan dan sokongan padu, agar semangat bersedia menyumbang ini terus bersemarak, dan menjadi tauladan baik bagi generasi akan datang.

 

''Kita semua bersatu memikul tanggungjawab ini dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara dari COVID-19,'' tegasnya lagi.

 

Walau bagaimanapun, adalah diakui, pada peringkat awal dan hingga masa ini pun, ramai orang menghadapi COVID-19 dengan berbagai reaksi, seperti ada yang berasa cemas, panik, resah, tertekan atau stres kerana tekanan yang dihadapi.

 

Ada yang 'beruri' dan memberi kesan atas kesihatan mental setengah individu, juga menyedari akan perkara ini, ujar Yang Berhormat lagi, Alhamdulillah pihak kerajaan dan bukan kerajaan bersatu bagi bersama-sama menanganinya dengan menyediakan khidmat nasihat.

 

Pandemik ini, bagi Yang Berhormat, banyak memberi kita iktibar dan setentunya juga banyak hikmah, di sebalik pandemik COVID-19 yang masih menular, di negara ketika ini.


SUMBER: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=37330



Attachments