NEGARA DITANAI DENGAN SEDEKAH

 

Huraian

Perkataan tanai bermaksud tatang atau tating. Menurut Kamus Dewan perkataan menanai bermaksud menatang atau menating. Manakala perkataan ditatang seumpama minyak yang penuh membawa maksud sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurnanya. Ungkapan “Negara di tanai atau ditatang” membawa maksud “Negara sangat dikasihi dan dipelihara”. 

Menanai dengan maksud memelihara atau menjaga memberikan pengertian yang lebih luas dan boleh merangkumi perbuatan memelihara atau menjaga sesuatu yang amat berharga dengan penuh kasih sayang dan perhatian, seperti menjaga anak atau negara, dan sebagainya.

Adapun sedekah dari segi istilah bermaksud: Pemilikan sesuatu dalam hidup tanpa imbalan demi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Perkataan sedekah juga digunakan dalam pengertian linguistik yang menyeluruh, maka zakat juga dipanggil sedekah sebagaimana dalam Surah At-Taubah, ayat 60

​

 

Mafhumnya:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurus zakat, para mu’allaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan untuk orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan mereka, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
 
Dalam al-Mufradat, sedekah didefinisikan sebagai apa yang dikeluarkan oleh seseorang dari hartanya kerana tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, seperti zakat. Akan tetapi sedekah pada asalnya dikatakan bagi sesuatu yang dikeluarkan secara sukarela, manakala zakat dikatakan bagi sesuatu yang dikeluarkan kerana wajib. Para fuqaha’ sering menggunakan perkataan sedekah ini khusus untuk merujuk kepada amal sedekah sukarela (tatawu’). Rujuk Taj al-Arus min Jawahir al-Qamus (13/264); al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (26/323); al-Mu’jam al-Wasit (1/511); Lisan al-‘Arab (7/309).

Sedekah mempunyai banyak kelebihan, antaranya ialah dosa dapat dihapuskan melalui bersedekah sepertimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 271:

Mafhumnya:​
“
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Selain dari menghapuskan dosa, amalan bersedekah dengan ikhlas juga akan memberikan ganjaran pahala. Setiap amalan baik akan diberikan ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata’ala sepertimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa’, ayat 114:

Mafhumnya:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Selanjutnya

Day 2