Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

13.10.19 Manuskrip bukti kewujudan hubungan kebudayaan




Manuskrip Melayu-Jawi adalah hasil lakaran dan ciptaan masyarakat Melayu-Islam berasaskan undang-undang syariat, Bahasa Arab dan kesenian Islam.

Pengaruh `umran (tamadun) bermula dengan ketibaan Islam yang membawa Aqidah, Syariah dan Tasawuf/Akhlak serta ilmu Bahasa Arab dan Kaligrafi.

Perkara demikian merupakan antara inti pati kertas kerja bertajuk Sumbangan Islam Terhadap Kemakmuran Masyarakat Melalui Manuskrip Melayu-Jawi pada Sesi Kedua Seminar Sempena Majlis Ilmu 2019 yang dibentangkan oleh Profesor Adjung, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Dr. Mahayuddin bin Haji Yahya.

Kesemua itu terhimpun dalam manuskrip Melayu-Jawi di mana kemunculan manuskrip Melayu-Jawi di rantau ini telah membuktikan kewujudan hubungan antara kebudayaan Arab-Islam dengan kebudayaan Melayu rantau Asia Tenggara pada awal Abad ke-13 Masihi (berdasarkan tarikh ketibaan kitab Bahr al-Lahut karangan Abdullah `Arif ke rantau ini) atau sejak Abad ke-9 Masihi.

Dengan kewujudan pertalian sejarah yang begitu lama, ditambah pula dengan usaha-usaha baharu melalui hubungan diplomatik, perdagangan dan pendidikan akan mengeratkan lagi jalinan dan silaturrahim antara negara Arab dan negara-negara Nusantara.

Manakala Profesor Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, KUPU SB, Profesor Madya Dr. Syamsul Bahri Andi Galigo pula dalam kertas kerjanya bertajuk Manuskrip Ulama Nusantara Melestarikan Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah Di Alam Melayu (Kajian Manuskrip 'Al-Nafhah al-Saylaniyyah_Syekh Yusaf al-Taj') menyentuh kepentingan penulisan manuskrip dalam bidang akidah, khasnya dalam kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah di Alam Melayu.

Antara penemuan penulis ialah Nusantara mula menerima sinar Islam adalah pada Kurun ke-13. Dalam kertas kerja ini membincangkan manuskrip Risalah al-Nafhah al-Saylaniyyah, sebuah manuskrip yang ditulis oleh seorang Sarjana Nusantara, Syaikh Yusuf al-Taj, seorang sarjana pada tahun 17 AD dari Makassar, Indonesia.

Beliau menulis banyak manuskrip dalam bahasa Arab untuk masyarakat Muslim terutama di Kepulauan Melayu untuk memahami keaslian Islam menurut konsep Ahli Sunnah Waljamaah. Kebanyakan penulisannya adalah berkenaan Aqidah dan Akhlak / Tasawuf. Makalah ini membentangkan manuskrip Al-Nafhah al-Saylaniyyah karangan Syaikh Yusuf al-Taj dalam kaedah filologi / tahqiq dan diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk memudahkan pembaca yang menghadapi kesulitan memahami naskhah asal.

Sementara itu, Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad membentangkan kertas kerja dengan tajuk Menelusuri Sejarah Wakaf dan Sumbangan Sultan Muhammad yang bertujuan untuk memberikan gambaran awal mengenai sejarah dan kedudukan wakaf Sultan Muhammad Tajuddin ibni Sultan Omar Ali Saifuddin I, Sultan Brunei ke-19 yang berupa sebidang tanah berserta dengan sebuah rumah yang terletak di Tanah Suci Kota Makkah.

Maklumat awal yang diperoleh melalui salinan sekeping manuskrip yang tersimpan dalam koleksi Pusat Sejarah Brunei memberikan gambaran secara terperinci mengenai sejarah dan perincian dari segi tanah sempadan dan kedudukan tempat letaknya aset wakaf tersebut.

Selain itu, ia juga memberikan maklumat tambahan berkaitan dengan tujuan penggunaan kemudahan wakaf yang mana dikhususkan untuk golongan tertentu seperti mana disebutkan secara terperinci serta kuasa yang diberikan kepada Haji Abdul Latif al-Jawi al-Baruni untuk menjadi nazir mengurus dan mentadbir rumah dan tanah wakaf tersebut.

Justeru menerusi penelitian manuskrip wakaf tersebut, penemuan maklumat baru mengenai sejarah wakaf dan seterusnya menonjolkan sumbangan penting Sultan Muhammad Tajuddin yang bukan terhad kepada masyarakat Brunei bahkan kepada yang lainnya seperti pengikut Tarekat al-Samaniyyah dan orang Melayu yang memerlukan tempat tinggal di Mekah tanpa melihat kepada warganegara.

Seminar sesi kedua dipengerusikan oleh Dekan Pelajar, UNISSA, Dr. Supri bin Haji Sudin.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments