Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLatar Belakang Majlis Ilmu 2019

FOKUS MAJLIS ILMU 2019

Majlis Ilmu 2019 merupakan sambutan Majlis Ilmu kali keempatbelas (14) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2004. Majlis Ilmu 2019 akan memfokuskan kepada pencapaian Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, terutama dalam menerapkan nilai-nilai ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jemaah, berlandaskan kepada falsafah Melayu Islam Beraja sehingga Negara Brunei Darussalam mencapai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk agama, ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan, pembangunan infrastruktur, perhubungan dan undang-undang.

Fokus ini adalah amat bertepatan dan sesuai untuk diberikan keutamaan pada Majlis Ilmu 2019 pada melihat pengiktirafan terhadap kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai ugama Islam dalam semua aspek agenda pembangunan negara.

Fokus ini juga bertepatan masanya pada bila kepimpian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menerima pengiktirafan serantau dan antarabangsa, di mana pada 16hb Rejab 1440 bersamaan dengan 23hb Mac 2019 Kebawah Duli Yang Mulia telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Kepimpinan Islam) oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM). Tema ini juga bersesuaian pada mana Negara Brunei Darussalam pada tahun 2019 ini telah diberikan penghormatan sebagai “Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019”.

Fokus ini turut bertepatan bersempena dengan perasmian Bangunan Baru Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPISHHB) yang merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah ilmu-ilmu dan warisan Islam, dan menggiatkannya melalui aktiviti kajian dan penyelidikan bagi manfaat masyarakat dan umat.

Dalam usaha menjayakan penganjuran Majlis Ilmu 2019, tiga (3) Kementerian selain daripada Jabatan Perdana Menteri, iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan bersama acara-acara yang akan dirancang sebagai perisian utama semasa Majlis Ilmu 2019. Penglibatan dari Kementerian-Kementerian lain, yang akan dapat menyumbang dan memberikan lagi impak dari sudut perisian dan kemeriahan sambutan Majlis Ilmu 2019, turut dipertimbangkan mengikut bidang dan skop yang relevan dengan tema Majlis Ilmu 2019.

Urusetia Bersama Jawatankuasa Pandu akan melibatkan empat (4) Kementerian. Bagi Jabatan Perdana Menteri, keahlian Urusetia Jawatankuasa Pandu akan terdiri dari pegawai-pegawai dan kakitangan dari Bahagian Undang-Undang dan Kesejahteraan, Jabatan Perdana Menteri, dari Bahagian-Bahagian di Jabatan Perdana Menteri (Proper) dan juga dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri di mana Urusetia Jawatankuasa Pandu akan menggerakkan setiap Urusetia Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja.


TEMA

Mengambilkira fokus-fokus yang diterangkan di atas, adalah bertepatan masanya bagi tumpuan Majlis Ilmu 2019 disempenakan dengan perasmian Bangunan Baru Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPISHHB), dengan tema utama bagi Sambutan Majlis Ilmu 2019, adalah:

“Manuskrip Islam Mercu Tanda Ketamadunan Umat”

Huraian Tema:
Falsafah Melayu Islam Beraja adalah teras kepada pembentukan ketamadunan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana falsafah Melayu Islam Beraja diserapkan secara langsung ke dalam pelbagai agenda pembangunan negara termasuk agama, ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan, pembangunan infrastruktur, perhubungan dan undang-undang.

Dalam perkara ini juga, turut diberikan tumpuan adalah menjaga hak asasi setiap warga negara dan penduduk yang mendiami di Negara Brunei Darussalam, dengan melaksanakan dasar-dasar negara yang menjaga kepentingan Maqasid Syariah. Ini diertikan bahawa setiap perancangan pembangunan adalah menepati lima (5) objektif syariah, iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan jiwa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta; dan ini juga diertikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat menitik beratkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala dalam semua aspek pembangunan bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, apa yang juga ingin diperlihatkan adalah bagaimana ketamadunan Islam sebelum ini berkait rapat dengan negara yang mempunyai falsafah yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek pembangunan di mana keadaan negara-negara tersebut menikmati suasana bernegara yang aman damai serta mempunyai nilai-nilai kehidupan dan kemasyarakatan yang terpuji.

Manuskrip pula adalah merupakan naskhah tulisan tangan dan artifak yang sangat bernilai dan terpenting sebagai warisan tamadun manusia yang amat berharga. Ia adalah hasil karya tulisan tangan dengan menggunakan berbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Parsi, Urdhu dan seumpamanya.

Antara pihak-pihak yang telah banyak membuat inisiatif mengumpul, menyimpan hasil khazanah dan sejarah sesebuah negara termasuk manuskrip-manuskrip melayu negeri-negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo dan Nusantara sebagai Pusat Rujukan untuk tujuan kajian & penyelidikan serta pengembangannya ialah The British Library, University Oxford dan University of Cambridge, London dan University of Leiden, Holland.  Manuskrip melayu juga dapat dikesan di Amerika Syarikat, Austria, Belgium, Denmark, Hungary, Ireland, Italy, Jerman, Norway, Perancis, Poland, Rusia, Sweden, Switzerland, Mesir, Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Singapura dan Malaysia. (Mahyuddin Yahya: Karya Klasik Melayu-Islam 2000). Manuskrip melayu turut didapati di negeri Cina dan Kemboja.

PERISIAN MAJLIS ILMU 2019

Perisian Majlis Ilmu 2019 pada kali ini adalah terdiri daripada:
  1. Perasmian Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPISHHB), sebagai acara kemuncak Majlis Ilmu 2019 dan diteruskan dengan Ceramah Khas Majlis Ilmu 2019;
  2. Forum Perdana Majlis Ilmu 2019;
  3. Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2019;
  4. Seminar Majlis Ilmu 2019; dan
  5. Expo Majlis Ilmu 2019.

Dengan acara-acara yang diaturkan ini ianya diharapkan akan dapat mencapai objektif Majlis Ilmu dengan hidangan ilmu dan maklumat yang mampu menterjemahkan dan menjelaskan peranan serta kesan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai Islam dari segala aspek bidang pembangunan yang menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang aman makmur dan damai.