Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLatar Belakang Majlis Ilmu 2020

 

Bismillah.png 

FOKUS MAJLIS ILMU 2020

 

Majlis Ilmu 2020 merupakan sambutan Majlis Ilmu kali ke-16 sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2004.  Namun, pada tahun 2009, negara tidak mengadakan Sambutan Majlis Ilmu kerana penularan penyakit berjangkit H1N1 pada tahun tersebut. Walaubagaimanapun, jika nasihat daripada Kementerian Kesihatan mengenai dengan larangan mengadakan majlis-majlis perkumpulan ramai (mass gathering) masih menghadkan perkumpulan ramai sehingga hujung tahun 2020, Sambutan Majlis Ilmu 2020 boleh dipertimbangkan dilaksanakan melalui format yang berlainan dari kelazimannya, iaitu dengan menggunakan siaran langsung keseluruh negara melalui siaran-siaran Radio dan Televisyen dan platform-platform live streaming dan melalui platform media sosial seperti IG live dan sebagainya. Ilmu adalah sesuatu yang mulia dan berharga, maka adalah satu kerugian jika peluang untuk menganjurkan Majlis Ilmu tidak dilaksanakan menggunakan format khas.

 

Majlis Ilmu 2020 akan memfokuskan kepada kepentingan terhadap pemeliharaan dan pengawalan hal ehwal kesihatan rakyat dan penduduk sebagai aset ke arah pembangunan negara yang berdaya tahan. Fokus ini dicadangkan bagi mengambilkira situasi penularan wabak COVID-19 yang telah memberi kesan yang besar khususnya terhadap perkembangan sosio-ekonomi yang dihadapi oleh beberapa negara termasuklah Negara Brunei Darussalam pada masa ini. Fokus yang dicadangkan ini juga akan menggabungkan aspek keimanan dan ketaqwaan dalam menghadapi musibah yang dibawa oleh wabak penyakit berkenaan.

 

Dalam konteks fokus yang dicadangkan tersebut, dua (2) Kementerian dicadangkan untuk menganjurkan bersama dengan Jabatan Perdana Menteri, iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di antara petikan-petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan fokus ini adalah seperti berikut:-

"Selaku bangsa yang berakidah, disamping meneruskan usaha-usaha bersifat jasmani (fizikal), kita juga dituntut untuk menggandakan usaha-usaha bersifat kerohanian (spiritual) dengan membanyakkan do'a dan zikir kepada Allah serta melakukan Amar Ma'ruf dan Nahyi Munkar. Disinilah budaya kita berbeza. Kita tahu, wabak ini bukan wujud dengan sendirinya, tetapi datang daripada, siapa yang bernama 'Maha Pencipta'. Tiada siapa dikalangan kita yang tahu mengapa ia didatangkan. Tetapi bercermin kepada peristiwa-peristiwa yang dirakam dalam Al-Qur'an, maka dapatlah difahami, bahawa setiap bala atau musibah atau wabak itu adalah ia satu peringatan atau hukuman atau intiqam daripada AllahCuma satu sahaja harapan yang tinggal, iaitu kita sama-sama datang kepada Allah dengan merendah diri, mengaku berdosa sambil memohonkan belas kasihan-Nya. Ya Allah, pelihara dan selamatkanlah kami dari wabak yang dahsyat ini. Hanya Engkau jua sebaik-baik pemeliharaan itu" 

(Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei DarussalamBerkenaan Jangkitan Wabak Covid-19Sabtu21hb Mac 2020)

 

"Dalam bidang kesihatan pula Kerajaan adalah tidak lalai untuk meningkatkan skop dan kualiti perkhidmatan. Namun kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, buah pinggang, darah tinggi, jantung dan kanser, terus saja meningkat dan bahkan ditahap yang membimbangkan. Pada hemat Beta, cara mencegah dan mengatasi penyakit-penyakit ini adalah banyak bergantung kepada kesedaran dan keazaman setiap individu. Untuk sihat, kita memerlukan disiplin gaya hidup sihat dan permakanan sihat. Di antara gaya hidup sihat itu ialah rajin beriadhah. Sementara permakanan sihat pula, ada dengan ketentuan-ketentuannya yang tersendiri. Dalam hal ini, ingin juga Beta melihat, sejauh manakah sudah segala kempen atau promosi kita tangani, termasuk menilai keberkesanannya secara empirical?" 

(Titah Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-66 Tahun)

 

"Ugama Islam telah meletakkan kesihatan dan kesejahteraan itu di tempatnya yang tinggi selepas keimanan.  Ini selaras dengan sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: "Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan, kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas iman." Demikian nilai kesihatan itu.  Ia adalah asas untuk penghidupan yang sempurna. Nikmat sihat membolehkan seseorang dapat memenuhi hajatnya dengan baik, seperti mencari ilmu dan beramal ibadat dengan selesa. Kesihatan yang optima tidak syak lagi akan membolehkan seseorang individu itu menunaikan kewajipan dunia dan akhiratnya dengan sempurna" 

(Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2012)

 

TEMA

Pada Tahun ini mengambilkira fokus yang dinyatakan di atas, tema yang dicadangkan untuk Sambutan Majlis Ilmu 2020 ialah 


"Mensyukuri Ni'mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah"


 Huraian Tema

Kesihatan adalah satu anugerah nikmat yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di mana fizikal dan mental yang sihat adalah asas kepada pembangunan dan kesejahteraan ummah. Menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri adalah amanah Allah yang mewajibkan hamba-Nya untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan bersih. Kehidupan sihat adalah merupakan salah satu asas utama ke arah mencapai kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.


FORMAT DAN KEGIATAN MAJLIS ILMU 2020

Pada lazimnya, Majlis Ilmu diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa di mana di antara acara-acara utama ialah Perasmian Majlis Ilmu, Ceramah Khas Majlis Ilmu, Forum Perdana Majlis Ilmu, Ceramah Perdana Majlis Ilmu, Seminar Majlis Ilmu dan Pameran Majlis Ilmu. Bagi memeriahkan lagi Sambutan Majlis Ilmu, acara-acara ini juga pada lazimnya dihadiri oleh para jemputan atau panel-panel penceramah dari luar negara. 


Bagi tahun 2020, format Sambutan Majlis Ilmu akan dibuat kelainan daripada format kelazimannya. Ini adalah berkaitan dengan keadaan penularan wabak penyakit COVID-19. Format khas Majlis Ilmu yang dicadangkan juga dinilai boleh memberikan audience coverage yang luas di mana rakyat di negara ini dan juga negara lain berpeluang untuk mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu itu nanti.

 


PERISIAN SAMBUTAN MAJLIS ILMU 2020

 Perisian Sambutan Majlis Ilmu 2020 yang dicadangkan sebagai format cadangan penganjuran Sambutan Majlis Ilmu 2020 ialah seperti berikut:-

 

PERISIANTARIKHVENUE

SIARAN LANGSUNG

CERAMAH KHAS MAJLIS ILMU 2020

 

HARI SELASA,

15HB DISEMBER

2020

JAM: 09.00 PAGI

 

MASJID SULTAN OMAR 'ALI SAIFUDDIEN

Bandar Seri Begawan

 

Venue atau tempat adalah pada mengambilkira usaha untuk meramaikan lagi kehadiran ke acara ilmu yang penuh berkah dan mempunyai kemanfaatan dan kebaikan di dalamnya. Majlis-majlis ilmu juga menyumbang kepada pemikiran yang sihat dan membentuk jati diri.

Format khas yang diaturkan ini diharapkan akan dapat mencapai objektif Majlis Ilmu iaitu hidangan ilmu yang mampu menterjemahkan dan menjelaskan peranan serta kesan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai utama yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan dan kebersihan, termasuklah kesannya kepada pengukuhan kerohanian serta keimanan dalam agenda pembangunan negara.


Beberapa acara Sektoral atau acara-acara sampingan juga akan diadakan bersempena dengan Majlis Ilmu 2020 yang akan berlangsung sehingga bulan Mac 2021, antaralainnya seperti berikut:-

  • Rancangan An-Nur (Siaran Rakaman);
  • Khutbah Juma'at
  • Nadwah Khas Sempena Majlis Ilmu
  • Rampai Pagi Edisi Khas Majlis Ilmu 2020 (Sesi Wawancara)
  • Ceramah Sempena Majlis Ilmu 2020.



*******