TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2017
SEMPENA HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN YANG KE-71 TAHUN
PADA HARI SELASA
18 SAFAR 1439 / 07 NOVEMBER 2017
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta
bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah
rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita hadir dan berkumpul di Majlis
Ilmu pada pagi yang mubarak ini.
Beta
sangat gembira, kerana Majlis Ilmu diungkayahkan pada ketika, negara
masih saja dalam suasana meraikan sambutan Jubli Emas Beta menaiki
Takhta.
Pada tahun ini, Majlis Ilmu
memaparkan tema: “Mensyukuri Kepimpinan, Terutama Perkhidmatan Ugama,
Sepanjang 50 Tahun Pemerintahan Beta”.
Beta juga difahamkan, bahawa satu ‘Ceramah khas’ akan disampaikan, bertajuk: “Pemerintahan Raja Yang Salih Membawa Berkat”.
Tidak
syak lagi, majlis ini akan mendepani usaha, untuk mencari tafsiran
tepat siapakah raja, apa tugas dan peranan serta kesan daripada
tindak-tanduk raja?
Semua ini akan jadi tugas dan tanggungjawab para ilmuan juga untuk memberikan perspektif yang sahih.
Tugas ini bukanlah ringan, malah berkehendakkan para ilmuan yang benar-benar ahli serta amanah.
Bercakap
mengenai kepimpinan, ia adalah berkait rapat dengan ilmu. Tanpa ilmu,
kepimpinan boleh saja pincang. Mengapakah begitu? Kerana bukankah ilmu
itu ‘pelita’? Cubalah bayangkan kalau kita berjalan di dalam gelap tanpa
pelita?
Kerana itu, Beta sangat
teruja, dengan Majlis Ilmu ini dapat diadakan pada setiap tahun, yang
disempenakan dengan Hari Keputeraan Beta. Banyaklah ilmu yang boleh
dikaut daripada majlis ini.
Dunia kini
penuh dengan cabaran. Diantara cabaran yang sering-sering menggugat
ialah cabaran dalam amalan berugama. Ia silih berganti, seperti saja
tidak ada kesudahannya.
Dalang yang
membawa cabaran, sangat suka menghambur-hamburkan pendapat, seperti
memburuk-burukkan amalan bertahlil, menolak ziarah kubur, mempertikai
sambutan Maulid Ar-Rasul, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas dan
lain-lain, dengan alasan, semua itu tidak dibuat oleh Nabi Shallallahu
‘Alaihi Wasallam.
Mereka ini tidak
mahu mendengar penerangan-penerangan oleh para ‘Ulama, kecuali terus
saja berdegil dengan pendapat dan pendirian mereka.
Ini
tidak boleh dibiarkan untuk terus berleluasa. Walaupun kita sudah
berusaha dengan pelbagai cara, melalui dakwah dan nasihat, untuk
memberhentikan amalan dan pendapat yang menyalahi kebiasaan ini, namun
masih saja kedengaran ia berlaku, dilakukan oleh pihak-pihak yang degil
itu.
Pada hemat Beta, ada eloknya
perkara ini ditangani secara undang-undang dengan menyediakan
peruntukkan di bawah akta bersesuaian, untuk menyekat sama sekali
pendapat atau amalan songsang menolak tahlil, mempertikai sambutan
Maulid Ar-Rasul, ziarah kubur, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas
dan lain-lain seumpamanya.
Hanya
dengan cara ini sahaja, semua di’ayah untuk mempengaruhi atau
mengganggu-gugat keharmonian berugama di negara ini dapat disekat dengan
berkesan.
Kita tidak mampu untuk
membiarkan sesiapa jua untuk membawa atau mengimport sebarang ajaran
yang boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini.
Inilah azam dan pendirian kita yang tidak dapat dikompromi sama sekali. Kita akan tetap dengan pendirian ini.
Aliran
akidah yang kita pegang, ialah aliran Ahli Sunnah Waljama’ah. Tidak
sesiapapun yang boleh melangkahinya. Ia telah pun dikanunkan dalam
Perlembagaan sebagai dasar muktamad kita.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.