Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTitah KDYMM Sempena Perasmian Majlis Ilmu 2018

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

DI MAJLIS
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2018
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-72 TAHUN

 

PADA HARI SELASA
19 RABIULAWAL 1440 /
27 NOVEMBER 2018


BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA BERAKAS,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta besyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita hadir di Majlis Ilmu pada pagi ini.

Beta melihat Majlis Ilmu sangatlah bermakna selaku wadah untuk kita berkongsi ilmu dan pengalaman.

Pada tahun ini, Majlis Ilmu berfokuskan kepada satu bidang utama yang benar-benar menjadi keperluan, iaitu bidang pertanian, melalui tema: "Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara".

Tema ini cukup relevan untuk di bincang oleh para ilmuan yang terdiri daripada ahli akademik, regulator (pengawal selia) dan juga practitioner (pengusaha dan peladang). Ianya tidak syak lagi adalah merupakan bidang terpenting, namun ia juga terdedah kepada pelbagai cabaran, diantaranya cabaran cuaca, ketidaktentuan kondisi, serangan musuh dan penyakit tanaman dan lain-lain lagi.

Tetapi walau begitu, kita tetap dituntut untuk menerokanya, mengapakah mesti begitu? Kerana pertanian adalah pemangkin kehidupan. Tanpa pertanian, kehidupan boleh tergugat.

Kerana itu Beta pernah menekankan bahawa bidang pertanian adalah bidang yang menentukan kelangsungan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka.

Sebab itu tiada lagi alasan untuk kita memperlahankan langkah ke arah pertanian.

Pertanian, perlu diceburi oleh siapa saja. Ia tidaklah terbatas kepada mereka yang memiliki ratusan hektar tanah baru hendak bertanam, bahkan orang juga boleh bertanam di halaman-halaman rumah masing-masing atau di dalam pasu untuk menghasilkan, seperti pepohon sayur dan lada seumpamanya. Yang penting, kita ini tidak akan diam begitu saja dengan mensia-siakan peluang bertanam. Kita mesti turut menyumbang untuk menghijaukan bumi. Bumi yang hijau adalah lambang rezeki.

Khusus mengenai penanaman dan pengeluaran padi dan beras pula, Beta sangat yakin, agensi-agensi yang berkaitan, akan secara berterusan memberikan perhatian dan keutamaan bagi melonjakkan keluaran padi dan beras di negara ini.

Sehubungan itu, Beta telah pun memperkenankan pelaksanaan inisiatif-inisiatif baru untuk meningkatkan lagi pengeluaran padi dan beras negara.

Pertama, Beta telah memperkenankan projek penanaman benih padi hibrad varieti berhasil tinggi (high yielding hybrid variety)  yang dikenali sebagai " Padi Sembada" pada tahun ini, yang mampu untuk menghasilkan 6 tan metrik padi setiap satu hektar dalam satu musim, berbanding benih padi yang ada sekarang yang hanya mampu menghasilkan 3 tan metrik padi setiap satu hektar dalam satu musim. Ini akan diikuti juga dengan penanaman benih "Padi Titih" yang boleh menghasilkan 8.5 tan metrik pada setiap satu hektar dalam satu musim. Benih-benih padi berkenaan akan ditanam secara meluas di kawasan-kawasan yang mempunyai sistem pengairan yang lengkap.

Kedua, Beta juga telah memperkenankan projek pembukaan kawasan baru bagi penanaman padi secara komersial, iaitu kawasan Kandol, Daerah Belait yang berkeluasan 500 hektar. Kawasan ini akan dilengkapi dengan infrastruktur-infrastruktur yang  bersesuaian.

Bagi memastikan projek berskala seperti ini berjaya, maka pengendalian penanaman padi akan dibukakan kepada syarikat-syarikat, termasuk syarikat berkaitan Kerajaan (government-linked companies, GLCs).

Kombinasi pengenalan benih "Padi Sembada" dan benih "Padi Titih" serta pembukaan kawasan baru ini, adalah diyakini insya-Allah, akan meningkatkan pengeluaran serta peratusan sara diri pengeluaran beras bagi negara Brunei Darussalam.

Jelasnya, Kerajaan Beta telah dan akan terus menyediakan peluang-peluang dalam bidang pertanian ini dengan seluas-luasnya.

Beta teruja, kerana kita telah dapat melahirkan peladang dan petani, yang sebahagiannya, telah berjaya menjadikan bidang ini sebagai mata pencarian utama mereka, terutama dalam aktiviti bertanam sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan, dan aktiviti ternakan dan perikanan. Beta percaya, kejayaan ini adalah hasil daripada kesungguhan, kegigihan serta "sifat bekarih" mereka.

Beta mahu sifat sedemikian ini biarlah terus hidup di kalangan para peladang dan petani.

Beta, amat menaruh harapan supaya para peladang dan petani tidak bosan-bosan mengusahakan perladangan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab, dedikasi dan berdisiplin demi survivabiliti bangsa dan negara.

Akhirnya, sejajar dengan tuntutan syari'at dan pendekatan bersepadu agensi-agensi Kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain, maka Beta berharap, Majlis Ilmu pada tahun ini akan benar-benar menjadi landasan, di samping juga sebagai pemangkin ke arah langkah mengembang dan memperkasakan bidang pertanian di negara ini. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati segala usaha kita yang berkebajikan ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.