Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTema Majlis Ilmu 2021

Bismillah.png
Fokus Majlis Ilmu

Majlis Ilmu 2021 merupakan sambutan Majlis Ilmu kali ke-17 sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2004. Sejak tahun 2004 juga, hanya pada tahun 2009 sambutan Majlis Ilmu tidak disambut pada tahun berkenaan bila mana negara pada masa itu berdepan dengan penularan penyakit berjangkit H1N1. Pada tahun tersebut juga, acara-acara perkumpulan ramai yang lazimnya diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seperti Majlis Bersama Rakyat di Daerah-Daerah juga tidak diadakan.

Sambutan Majlis Ilmu 2021 boleh dipertimbangkan berpandukan kepada titah-titah, fatwa dan garispanduan Kementerian Kesihatan mengenai jangkitan Wabak COVID-19.

Pandemik COVID-19 telah menimbulkan banyak isu dan cabaran kepada semua negara terutama sekali impaknya terhadap kesihatan, ekonomi, dan kehidupan masyarakat secara amnya. Fokus yang dicadangkan bagi Majlis Ilmu tahun ini akan menyentuh mengenai iktibar dari kesukaran yang telah dihadapi negara sejak bermulanya penularan COVID-19 dan merangka strategi-strategi mengenainya untuk mengekalkan kehidupan yang aman, sejahtera dan harmoni.

Dalam konteks fokus Majlis Ilmu ini, lima (5) Kementerian juga dicadangkan untuk menganjurkan bersama dengan Jabatan Perdana Menteri, iaitu Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan serta Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Di antara petikan-petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan fokus ini adalah seperti berikut:-

“Kita tahu, wabak ini bukan wujud dengan sendirinya, tetapi datang daripada, siapa yang bernama ‘Maha Pencipta’. Tiada siapa dikalangan kita yang tahu mengapa ia didatangkan. Tetapi bercermin kepada peristiwa-peristiwa yang dirakam dalam Al-Qur’an, maka dapatlah difahami, bahawa setiap bala atau musibah atau wabak itu adalah ia satu peringatan atau hukuman atau intiqam daripada Allah. Cuma satu sahaja harapan yang tinggal, iaitu kita sama-sama datang kepada Allah dengan merendah diri, mengaku berdosa sambil memohonkan belas kasihan-Nya. 
Ya Allah, pelihara dan selamatkanlah kami dari wabak yang dahsyat ini. Hanya Engkau jua sebaik-baik pemeliharaan itu. Kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, pandu dan bimbinglah rakyat untuk berdo’a dan berzikir. Sediakan teks do’a dan zikir itu untuk kemudahan. Utamakan yang mudah-mudah tetapi warid, supaya senang bagi orang ramai melakukannya. Insya Allah, melalui usaha yang sangat berkebajikan ini, semoga Allah menerimanya.” 

(Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan 
Negara Brunei Darussalam, Berkenaan Jangkitan WABAK COVID-19, Sabtu, 21hb Mac 2020)


"Beta berharap, pihak berwajib akan menangani kes ini dengan setegas-tegasnya. Kita jadikan ia pengajaran untuk semua. Melalui kesempatan ini, Beta ingin menganjurkan supaya kita sama-sama melazimkan diri membaca Surah Yaseen selain surah-surah yang lain dalam al-Qur’an, kerana Yaseen fadhilatnya sangat banyak untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Insya Allah, dengan berkat Yaseen juga, 
COVID-19 akan berundur meninggalkan kita dan negara."

(Titah Perutusan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Berkenaan Jangkitan Wabak Covid-19, Isnin, 13hb April 2020)

"Pada hemat Beta, sesuai dengan suasana Majlis Ilmu, tidak syak lagi, perkara wabak koronavirus mustahak untuk dibuat kajian dan huraian termasuk mencari jawapan mengapa wabak ini alhamdulillah, dapat dikawal dengan berkesan di negara kita, adakah pada pendapat para ilmuan, bahawa diantara sebabnya ialah, kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, disamping secara konsisten menggunakan 'vaksin ketuhanan' berupa ayat-ayat alQur'an dan do'a-do'a? Perkara ini penting, kiranya dengan kajian dan huraian itu akan dapat menyingkap sedikit hikmah disebalik kejadian. Sesungguhnya hikmah itu mampu untuk memberi impak kepada jiwa sebagai pengajaran. Kita semua yakin, setiap kejadian yang didatangkan oleh Allah adalah tidak sunyi dari mengandungi hikmah. Kerana itu ia perlu difahami dan dipelajari untuk mengetahui hikmah itu. Jika hikmah dapat diketahui walaupun sedikit, maka kesannya adalah mampu untuk menumbuhkan keinsafan atau kesedaran di hati kita. Inilah harganya hikmah itu."

(Titah Perutusan KDYMM Bagi Majlis Ilmu 2020 Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun 
Keputeraan Baginda Yang Ke-74 Tahun)


1. Mengambilkira fokus yang dinyatakan diatas, tema bagi Sambutan Majlis Ilmu 2021:  


“COVID-19: Satu Iktibar”


2. Huraian Tema:

COVID-19 merupakan penyakit yang disebabkan oleh sejenis koronavirus baru yang dikenali sebagai koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-COV-2). Ia boleh menyebabkan beberapa jenis penyakit seperti batuk selesema biasa dan penyakit-penyakit yang lebih teruk seperti radang paru-paru dan Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

Perkataan iktibar dalam Kamus Dewan bermaksud pengajaran, contoh, ibarat dan teladan. Manakala hala tuju pula bermaksud matlamat atau sasaran, iaitu sesuatu yang hendak dicapai dalam sesebuah organisasi.

Pandemik virus COVID-19 yang melanda dunia termasuk Negara Brunei Darussalam bermula di Wuhan, China sehingga tarikh 4 Jun 2021 telah menyebabkan lebih daripada 173 juta kes yang disahkan dan sekitar 3.7 juta kes kematian. Pandemik tersebut telah menimbulkan banyak isu dan cabaran kepada semua negara terutama sekali impaknya terhadap kesihatan, ekonomi, dan kehidupan masyarakat secara amnya.

Di Negara Brunei Darussalam, kes pertama telah dilaporkan pada 9 Mac 2020 dan sehingga 3 Jun 2021 sebanyak 244 orang telah disahkan positif Covid-19 dan tiga daripadanya telah meninggal dunia. Sejak kes pertama dilaporkan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertindak pro-aktif dengan memperuntukkan sebanyak BND$15 juta bagi melaksanakan ‘whole of nation approach’ sebagai tindakan membendung penularan pandemik tersebut di negara ini.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu wa Ta‘ala penularan pandemik COVID-19 telah berjaya dikawal di dalam negara. Kes terakhir jangkitan tempatan telah dilaporkan pada 6 Mei 2020, dimana kes-kes yang dilaporkan setakat ini ialah kes jangkitan import. Disamping itu Brunei juga di bawah pimpinan dan budi bicara Raja telah membawa kita berawat dengan “Vaksin Ketuhanan” berupa membaca Qunut Nazilah, zikir-zikir dan doa-doa serta membaca ayat suci al-Qur’an untuk menolak bala.

Selaku orang Islam, kita tetap percaya bahawa timbulnya pandemik COVID-19 ini adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:



Tafsirnya: Tiada suatu bencana pun yang menimpa melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan mengurniakan petunjuk kepada hatinya (untuk menerima apa yang berlaku dengan tenang dan sabar). Dan Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.
(Surah at-Taghabun: 11)

Selain itu, ancaman kematian yang menakutkan itu juga menurut ajaran lslam adalah suatu ujian daripada Allah Ta’ala terhadap kesabaran manusia menghadapinya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala;



Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Surah al-Baqarah: 155)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman lagi:



Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang munafiq itu): Sesuatu pun sekali-kali tidak akan menimpa kamu melainkan apa yang Allah telah tetapkan bagi kami. Dialah Pelindung kami. Dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”
(Surah at-Taubah: 51)

Penularan COVID-19 telah menimbulkan banyak perubahan dan kesukaran dalam kehidupan manusia terutama perhubungan sesama manusia yang sebelumnya bebas telah pun dihalang oleh pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang antaranya penjarakan sosial sebagai langkah memutuskan rantaian penularan COVID-19. Penguatkuasaan penjarakan sosial ini memberi kesan kepada banyak perkara termasuk ekonomi setempat dan antarabangsa secara umumnya.

Sehingga ke hari ini, tidak ada pihak yang mampu meramal bila penularan COVID-19 ini akan berakhir sekalipun vaksin mengenainya telah dihasilkan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan penularan yang semakin meningkat di beberapa negara di akhir-akhir ini.

Keadaan sedemikian memaksa masing-masing negara bekerja keras menyusun strateginya dalam mengatasi penularan COVID-19 dan merangka hala tuju kehidupan selanjutnya terutama dalam melaksanakan inisiatif khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan ekonomi untuk mengekalkan kelangsungan hidup yang aman dan harmoni di kalangan masyarakat.

Bagi Negara Brunei Darussalam, sekalipun penularan COVID-19 dalam negara adalah terkawal, namun negara perlu bersiap siaga untuk menghadapi kebiasaan baru akibat penularan COVID-19 yang tidak bersempadan ini. Disamping itu, kita juga perlu mengambil iktibar dari kesukaran yang telah kita hadapi sejak bermulanya penularan COVID-19 dan merangka strategi-strategi mengenainya untuk mengekalkan kehidupan yang aman, sejahtera dan harmoni.

Maka berkaitan dengan perkara di atas, Jawatankuasa Nara Sumber Majlis Ilmu bagi tahun 2021 sehingga 2023 berpendapat tajuk “COVID-19: Satu Iktibar” adalah sangat releven untuk dijadikan tema Majlis Ilmu tahun 2021.

3. Sub-tema

Sub-tema yang dicadangkan bagi mendokong tema utama Majlis Ilmu 2021 adalah seperti berikut:

3.1 Meneladani kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khasnya dalam menangani musibah seperti COVID-19.

3.2 Penghayatan berugama.

3.3 Pemerkasaan sumber manusia.

3.4 Pembangunan ekonomi.

3.5 Kesejahteraan rakyat dan negara.

3.6 Transformasi dan inovasi digital.

4. Objektif Tema

Objektif Majlis Ilmu 2021 adalah seperti berikut:

4.1 Mensyukuri anugerah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mengurniakan Negara Brunei Darussalam seorang raja yang berwibawa.

4.2 Mengukuhkan aspek kerohanian dalam amalan serta kehidupan berugama dengan meningkatkan keimanan, ketaqwaan, dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam menghadapi ujian dan musibah.

4.3 Memajukan sumber manusia yang produktif yang boleh membantu meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat.

4.4 Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengoptimumkan perusahaan dan produktiviti demi mencapai ekonomi mapan dan berdaya tahan.

4.5 Menekankan kepentingan kesejahteraan rakyat yang seimbang dari aspek keselamatan, keharmonian dan kemajuan negara.

4.6 Meningkatkan pembudayaan digital dan inovasi dari aspek pendidikan, pengurusan, keselamatan dan perusahaan.

5. Tema ini dijangka akan dapat:

5.1 Mensyukuri di atas kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam tadbir urus dan dasar negara.

5.2 Melaksanakan tuntutan syara‘ dengan berteraskan ‘ubudiyyah (penghambaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala), mas’uliyyah (tanggungjawab) dan itqan (ketekunan) bertepatan dengan maqashid syari‘ah.

5.3 Sebagai sandaran kepada memperkasa pelan-pelan tindakan yang berkaitan ke arah pengupayaan dan kemajuan sumber manusia secara holistik.

5.4 Memberikan kesedaran tentang kepentingan ekonomi berkat, mapan dan berdaya tahan.

5.5 Menunjukkan kepentingan ‘whole of nation approach’ untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 berteraskan konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

5.6 Mempercepatkan proses penerapan konsep digital dan inovasi di pelbagai sektor.

*******