Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTema Majlis Ilmu 2023



الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْن، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُـحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أجْمَعِيْن.

TEMA MAJLIS ILMU 2023

Tema:
 
“MUNAJAT SENEGARA DENGAN TAUBAT”
 

Huraian Skop Tema:

Allah  telah mengurniakan manusia dengan pelbagai anugerah dan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Salah satu anugerah yang besar daripada Allah  adalah kesihatan, di mana kesihatan fizikal dan mental, kedua-duanya adalah merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah  yang wajib disyukuri oleh setiap hamba-Nya. 

Islam mengakui kesihatan adalah keperluan asasi bagi setiap individu, dan Islam juga melihat kesihatan dan kesejahteraan adalah merupakan amanah Allah  yang wajib dijaga, dipelihara dan disyukuri. Bahkan tingginya kedudukan urusan menjaga kesihatan itu dapat dilihat melalui penyenaraian keutamaan yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat kedua selepas keyakinan (iman). Imam Ibnu Majah dalam kitabnya as-Sunan ada meriwayatkan sebuah hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan (iman).” 

Kesihatan yang sempurna dan kesejahteraan masyarakat juga adalah merupakan asas kepada Keamanan Negara dan Kesejahteraan Ummah. Memelihara dan menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri adalah amanah dari Allah  yang telah mewajibkan hamba-Nya untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang bersih dan sihat. Rasulullah ﷺ sendiri semasa hayatnya telah menunjukkan dan menggayakan cara menjalani kehidupan yang sihat sehinggakan banyak kisah dan pesanannya menyentuh aspek kesihatan yang membuktikan bahawa urusan menjaga kesihatan adalah antara inti pati ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah ﷺ. Kehidupan sihat adalah merupakan salah satu asas utama ke arah mencapai Keamanan Negara dan Kesejahteran Ummah.

Diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi di dalam kitabnya as-Sunan dari ‘Ubaidillah bin Mihsan Al-Ansari Al-Khatmi radiyallahu ‘anhu bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa di antara kamu yang berada di waktu pagi dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat pada jasmaninya, dan dia memiliki makanan untuk hari itu, maka sungguhnya seakan-akan dunia dengan seluruh isinya telah dikumpulkan dan dihimpunkan untuk dirinya.”

Allah berfirman di dalam kitab suci Al-Qur’an, surah al-Isra ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا  ‎﴿ألاسراء: ٨٢﴾‏

Mafhumnya:
 “Dan Kami menurunkan daripada al-Qur’an suatu penawar (bagi penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim (orang-orang kafir) selain kerugian” 

Berbeza dengan negara-negara lain, Negara Brunei Darussalam telahpun mengambil pendekatan dengan melaksanakan SOP ugama dalam mendepani penularan COVID-19. Perkara ini selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan bahawa SOP ugama datangnya daripada Maha Pencipta manusia dan ianya perlu dilihat dengan kaca mata ilmu berdasarkan akidah.

Melalui SOP ugama ini, Negara Brunei Darussalam terus konsisten mengamalkan vaksin ketuhanan sebagai vaksin paling ampuh dalam memerangi COVID-19 sebagai salah satu punca dan penyebab terjejasnya kesihatan mental dan kesejahteraan ummah iaitu dengan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, khususnya membaca Surah Yasin, memperbanyakkan zikir-zikir harian, melaksanakan sembahyang Sunat Hajat, membaca doa Qunut Nazilah, membaca Ratib al-Attas, mengadakan Malam Munajat secara berterusan, melazimkan doa Menghindari Penyakit Wabak COVID-19, dan juga memperbanyakkan bacaan selawat, khususnya Selawat Tafrijiyyah dalam Majlis Selawat Senegara baru-baru ini. 

Atas dasar sifat keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersabit perkembangan terbaharu pandemik koronavirus di negara ini, baginda telah bertitah mengingatkan semua, selaku umat yang berakidah, kita memahami bahawa tiada turun sesuatu bala melainkan hanya kerana dosa jua, dan tiada berundur bala itu, kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja. Titah baginda:

“Ini, dari sejak lama lagi telahpun diisyaratkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 tafsirnya:

"Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah ta'at kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (yakni rahmat), dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu di samping kekuatan yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangi suruhanKu dengan terus melakukan dosa".

Inilah antara ayat istighfar, yang menggalakkan kita supaya bertaubat, dan manakala taubat itu telah berlaku, maka Allah pun berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk insya Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan kita yang sedia ada. Adapun kekuatan itu di sini, boleh saja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan, insya Allah.

Kita selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat. Kita tidak tahu, berapa banyakkah dosa kita, sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar, semua itu pembasuhnya, hanyalah satu sahaja, iaitu istighfar atau taubat. Kalau membasuh tangan dengan air atau sanitizer, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat”.

Sebagai seorang manusia, kita sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan dosa, maksiat, dan kesilapan. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan sifat kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Banyak dalil yang secara jelas menerangkan berkenaan hakikat ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas ibn Malik  bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ (رواه أحمد، الترمذي، وابن ماجه)

Maksudnya: “Setiap anak Adam itu pasti berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat”. (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, dan Ibn Majah).

Melalui hadis tersebut, dapat disimpulkan bahawa kesemua anak Adam itu disifatkan sebagai seorang yang berbuat kesalahan. Walaupun bukan semua kesalahan itu dikira dan dinilai sebagai satu dosa, tetapi berdasarkan kepada konteks perkataan al-khata’ (kesalahan) di dalam hadis ini jelas membawa maksud berdosa kerana hadis ini juga menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat. Secara umumnya, hanya perbuatan dosa yang memerlukan pelakunya bertaubat dan berhajat kepada pengampunan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, hadis ini menyampaikan bahawa semua anak Adam itu berbuat dosa dan sebaik-baik mereka yang berbuat dosa adalah golongan yang bertaubat kepada Allah .

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah  bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

Maksudnya: “Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka”. (Riwayat Muslim).

Hadis di atas sebagaimana ulasan Imam al-Mubarakfuri  memberikan pengertian bahawa sekiranya manusia tidak melakukan dosa, nescayalah Allah  akan menghilangkan mereka dengan mematikan mereka, lalu Dia mendatangkan kaum yang lain sama ada dari jenis kamu sendiri atau selain kamu yang melakukan dosa. Iaitu mungkin sebahagian dari mereka melakukan dosa kemudian mereka pun beristighfar memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta mengharapkan pengampunan secara mutlak dari-Nya. Maka Allah  pun mengampunkan mereka dengan sebab diri-Nya bersifat dengan sifat al-Ghaffar (Maha Pengampun).

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam Kitab at-Tawwabin ada menceritakan kisah “taubat seorang hamba yang derhaka pada zaman Nabi Musa ”: 

Telah diriwayatkan bahawa Bani Israel pernah ditimpa musim kemarau panjang pada zaman Nabi Musa , lalu mereka berkumpul menemuinya seraya berkata: “Wahai Kalimullah, tolonglah doakan kami kepada Tuhanmu supaya Dia berkenan menurunkan hujan untuk kami!”

Kemudian berdirilah Nabi Musa  bersama kaumnya dan mereka bersama-sama keluar menuju ke tanah lapang dengan bilangan mereka seramai tujuh puluh ribu orang atau lebih. Setelah mereka sampai ke tempat yang dituju, Nabi Musa  pun mula berdoa: “Tuhanku, siramilah kami dengan air hujan-Mu, taburkanlah kepada kami rahmat-Mu, dan kasihanilah kami terutama dengan anak-anak kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang-orang tua yang sudah bongkok”. 

Keadaan tidak berubah sedikitpun, melainkan langit semakin menjadi sangat cerah dan matahari semakin bertambah panas. Nabi Musa  pun berkata: “Tuhanku, jika seandainya Engkau tidak lagi menganggap kedudukanku sebagai Nabi-Mu, maka aku mengharapkan dengan kedudukan dan keberkatan Nabi yang ummi iaitu Muhammad ﷺ yang akan Engkau utus pada akhir zaman”.

Maka Allah  mewahyukan kepada Nabi Musa : “Aku tidak pernah merendahkan kedudukanmu di sisi-Ku, sesungguhnya kamu di sisi-Ku mempunyai kedudukan yang tinggi. Akan tetapi bersama denganmu ini ada seorang hamba yang secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat selama empat puluh tahun. Engkau boleh memanggilnya supaya ia keluar dari perkumpulan orang-orang yang hadir di tempat ini! Orang itulah yang menjadi penyebab terhalangnya turun hujan untuk kamu semuanya”.

Nabi Musa kembali berkata: “Tuhanku, aku adalah hamba-Mu yang lemah, suaraku juga lemah, bagaimana mungkin suaraku ini akan dapat didengarnya, sedangkan jumlah mereka tujuh puluh ribu orang atau lebih?” Allah  berfirman: “Wahai Musa, kamulah yang memanggil dan Aku-lah yang akan menyampaikannya kepada mereka!”. Nabi Musa  segera berdiri seraya menyeru kaumnya: “Wahai seorang hamba yang derhaka yang secara terang-terangan telah melakukan maksiat sejak empat puluh tahun lamanya, keluarlah kamu dari perkumpulan kami ini, disebabkan kamulah Allah  tidak menurunkan hujan kepada kami semua!”

Mendengar seruan Nabi Musa  itu, maka orang yang derhaka itu berdiri sambil melihat ke kanan dan ke kiri. Akan tetapi, dia tidak melihat seorangpun yang keluar dari perkumpulan itu. Dengan demikian tahulah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa  itu adalah dirinya sendiri. Dia berkata dalam hatinya: “Jika aku keluar dari perkumpulan ini, nescaya terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini terhadap kaum Bani Israel, akan tetapi jika aku terus tetap duduk bersama mereka, pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah  kepada mereka!”. 

Setelah berkata demikian dalam hatinya, lelaki itu lalu menyembunyikan kepalanya di sebalik bajunya dan menyesali segala perbuatan derhaka yang telah dilakukannya sambil berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah derhaka kepada-Mu selama lebih empat puluh tahun, walaupun demikian, Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku, dan sesungguhnya sekarang aku bertaubat dan datang kepada-Mu dengan ketaatan maka Engkau terimalah aku”.

Belum sempat lelaki itu sempurna mengucapkan doanya, beberapa saat selepas itu, kelihatanlah awan yang bergumpalan di langit, seiring dengan itu hujan pun turun dengan lebatnya bagaikan dicurahkan dari bekas penyimpanan air. Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa  berkata: “Tuhanku, mengapa Engkau memberikan hujan kepada kami, sedangkan di antara kami tidak ada seorangpun yang keluar serta mengakui akan dosa yang dilakukannya?” 

Allah  berfirman: “Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini adalah juga disebabkan oleh orang yang dahulunya menjadi sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu!”. Nabi Musa berkata: “Tuhanku, lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hamba-Mu yang taat itu?”

Allah  berfirman: “Wahai Musa, dulu ketika dia derhaka kepada-Ku, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu, sedangkan dia telah taat kepada-Ku?”

Kisah ini memberikan pengertian bahawa boleh jadi disebabkan oleh seseorang yang berdosa kerana berterusan melakukan maksiat, maka Allah tidak mengabulkan doa perkumpulan yang ada bersamanya selagi mana dia tidak keluar meninggalkan mereka atau tidak bertaubat dari dosa-dosanya. Kisah ini jua mengingatkan kita akan perintah Allah  kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa memohon pengampunan dan bertaubat kepada-Nya sepertimana dalam surah Nuh ayat 10-12:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ‎﴿نوح: ١٠-١٢﴾‏

Mafhumnya: 
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.


Maka melihat kepada keadaan norma baharu yang sekarang ini, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Mufti Kerajaan berpendapat tajuk “Munajat Senegara Dengan Taubat” adalah sangat relevan untuk dijadikan tema Majlis Ilmu 2023.

Munajat bermaksud zikir dan doa, dengan cara mendampingi dan mendekatkan diri kepada Allah  untuk mengharapkan keredaan, hidayah, dan pertolongan-Nya jua. Manakala taubat pula bererti sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa lagi, taubat juga bererti kembali kepada Tuhan dengan meninggalkan segala larangan-Nya dan melaksanakan suruhan-Nya.  Taubat juga menjadi sebab tertolaknya bala dan musibah dan menjadi sebab datangnya rahmat dan rezeki dari Allah .


Sub-tema:​
  1. Konsep munajat dan taubat: kepentingan dan kelebihannya.
  2. Perkara-perkara yang memerlukan taubat.
  3. Memperkasa munajat.
  4. Kepimpinan dalam munajat (mendekatkan diri kepada Allah).


Objektif:

Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang konsep dan kepentingan munajat dengan taubat ke arah kehidupan yang diredai Allah .
Mengajak masyarakat mengamalkan munajat dengan taubat secara istiqamah sebagai langkah menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara, serta menolak segala musibah.

Mendokong kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menghadapi COVID-19 dan melaksanakan taujih (bimbingan/arahan/suruhan) Baginda.


Tema ini dijangka akan dapat:

Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang munajat dan taubat serta kepentingan penghayatan dan pengamalannya dalam ruang lingkup kehidupan sebagai benteng menghadapi ujian dan cabaran yang akan datang.

Membawa rakyat meneladani kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menghadapi acaman wabak COVID-19 dan mentaati taujih (arahan) Baginda.

Memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan   munajat dan taubat dalam meraih keredaan Allah  sesuai dengan landskap Brunei sebagai Negara Zikir.​