TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS ILMU 2023
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Ilmu yang penuh dengan keberkatan pada pagi yang berkebajikan ini.
Beta juga turut bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana pada tahun ini Majlis ilmu dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
Beta melihat Majlis Ilmu masih saja tetap relevan untuk diungkayahkan, kerana ia telah banyak menyumbang dan mengongsikan pelbagai ilmu dan maklumat yang sangat bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.
Beta difahamkan, tema Majlis Ilmu tahun ini berbunyi “Munajat Senegara Dengan Taubat".
Tema ini sangat signifikan untuk terus dibincangkan berdasarkan ilmu itu adalah amat luas, tidak ada sempadan.
Memperkatakan tentang Munajat dan Taubat, bahawa munajat bererti berdoa dan berzikir, manakala taubat pula ialah memohon ampun kepada Allah dan menyesali segala perbuatan dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.
Sebagai manusia biasa, kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa, sehingga perlu untuk sentiasa bertaubat. Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan (dosa) dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) itu ialah orang-orang yang sentiasa bertaubat". – Hadits riwayat at-Tirmizi.
Maka adalah menjadi kewajipan bagi siapa yang melakukan kesalahan dan dosa, untuk segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala tanpa bertangguh, kerana peluang yang ada hari ini belum tentu ada pada hari esok.
Taubat tidak hanya semata-mata dilihat sebagai perbuatan memohon keampunan, menyesali perbuatan dosa dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, bahkan taubat juga mengandungi banyak faedah yang sukar dicapai oleh akal manusia. Antaranya, dengan taubat, dosa terhapus, bala bencana dan musibah terangkat serta azab tertolak.
Dengan taubat juga, pintu rezeki dibuka dengan luas, rahmat dan nikmat turun secara berterusan, dan punca kejayaan dunia dan akhirat. Dengan taubat juga berupaya memberikan ketenangan dan kesihatan mental serta menjauhkan daripada perasaan dukacita. Semua ini adalah janji Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana termaktub di dalam al-Qur'an.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Beta bersyukur kerana kita terus menerus istiqamah dengan cara kita sendiri menghadapi apa jua cabaran dan musibah, iaitu dengan amalan SOP Ugama.
Inilah amalan dan tradisi kita orang-orang Brunei yang diwarisi sejak dahulu lagi, iaitu berupa memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an seperti membaca surah Yasin, berzikir, berselawat, berdoa, melaksanakan sembahyang sunat Hajat dan membaca doa Qunut Nazilah, membaca Ratib al-'Attas dan mengadakan Malam Munajat secara berterusan sehingga sekarang.
Pada hemat Beta, semua ini adalah berunsur taubat kerana munajat itu sendiri adalah wasilah dan jalan menuju taubat.
Oleh itu, Beta berseru, supaya kita terus menerus mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk meraih berkat dan rahmatNya.
Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Penganjur dan semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati segala usaha yang berkebajikan ini. Amin.
Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli 'Alaa Sayyidinaa Muhammad, Wa 'Alaa Aalihi Wasahbihee Wasallam, Beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk : “Majlis Ilmu: Mercu Tanda Intelektualisme Raja, Suluh Negara" dan seterusnya merasmikan Majlis Ilmu 2023 berserta semua acara di dalamnya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.