Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTema Majlis Ilmu 2024


​​​​​​​​​​​

الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْن، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُـحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أجْمَعِيْن

TEMA MAJLIS​ ILMU 2024​
“MENANGANI GEJALA MENTAL"

 

​Aspek kesihatan seseorang secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal semata-mata tetapi juga merangkumi kesihatan mental. Kedua-dua aspek kesihatan sama ada kesihatan fizikal mahupun kesihatan mental adalah merupakan antara faktor terbesar yang mempengaruhi corak kehidupan seseorang.

Kesihatan mental adalah merujuk kepada keupayaan seseorang untuk berfikir, mengawal dan bertindak dalam menangani cabaran yang timbul dalam kehidupan seharian. Mental yang sihat mampu membantu keupayaan seseorang untuk menguruskan emosi, menjalani, menghargai dan menikmati kehidupan dengan cara yang positif, produktif dan seimbang.

Menurut ajaran agama Islam, kesihatan fizikal dan kesihatan mental merupakan salah satu anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-Nya yang wajib disyukuri serta dijaga dan dipelihara oleh setiap individu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam kitabnya as-Sunan, Rasulullah ﷺ telah mengajarkan umatnya untuk memohon kesihatan melalui sabdanya:

سَلُوا اللهَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فَإِنَّ أَحَدًا لَمْ يُعْطَ بَعْدَ الْيَقِيْنِ خَيْراً مِنَ الْعَافِيَة

​​​

Maksudnya: “Mintalah keampunan dan kesihatan kepada Allah, kerana sesungguhnya salah seorang dikalangan kamu tidak diberikan setelah keyakinan (iman) sesuatu perkara yang lebih baik daripada kesihatan."​



​Kesihatan mental juga merupakan satu keperluan asas yang perlu dijaga dan dipelihara dengan baik kerana ia merupakan asas kepada kesejahteraan seseorang individu untuk berinteraksi dengan orang lain, menyedari keupayaan diri, mampumengendalikan tekanan serta cabaran yang timbul dalam kehidupan seharian agar  seseorang dapat menjalani kehidupan dengan baik. Individu yang mempunyaimental yang tidak sihat pula akan menyebabkan dirinya sukar bahkan gagamenangani cabaran hidup yang dihadapinya sehingga hidupnya sentiasa dilikungi kemurungan dan keresahan yang berpanjangan.

Penyakit mental pula merupakan gangguan yang melibatkan gangguan kepada emosi, tingkah laku dan pemikiran seseorang yang mengalaminya. Pada kebiasaannya gangguan-gangguan ini berpunca daripada masalah, musibah atau cabaran hidup yang tidak dapat ditangani atau dihadapi oleh penghidapnya dengan baik. Kesannya, gangguan ini akan bertambah parah jika ianya tidak dapat ditangani dengan baik sehingga membawa kesan buruk kepada penghidapnya.

Dalam konteks agama Islam, penyakit mental juga dilihat sebagai masalah atau penyakit yang berkaitan dengan jiwa. Islam melihat kesihatan mental ini melibatkan jiwa yang memerlukan penjagaan kepada dua elemen penting iaitu roh dan jasad. Sebagai seorang Muslim yang bergelar hamba kepada Allah Subhanahu  Wata'ala, kita hendaklah meyakini bahawa setiap masalah, musibah dan cabaran hidup yang datang kesemuanya adalah merupakan ujian keimanan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala sepertimana firman-Nya dalam surah al-Ankabut, ayat 2:​

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿العنكبوت: ٢﴾‏


Mafhumnya:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan denganhanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"​
​​


Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah Subhanahu  Wata'ala menguji hamba-hamba-Nya yang beriman sesuai dengan keimanan yang dimiliki mereka. Perkara ini adalah bertepatan dengan janji Allah Subhanahu  Wata'ala sendiri yang tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 286:


​‎البقرة: ٢٨٦﴾‏﴿ ...​ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا 
​​​
​               Mafhumnya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."



Di Negara Brunei Darussalam sendiri, ekoran dari ancaman wabak dan musibah yang silih berganti, khususnya pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia beberapa tahun lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah menekankan mengenai amaran dari beberapa badan tertentu dan juga pakar-pakar tentang wujudnya kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal. Titah baginda: 

​​

Di antara amaran itu, turut datang dari pihak Badan Dunia (PBB) yang menyebut bahawa: ''Hampir satu billion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda mengalami gangguan kesihatan mental."

Gangguan mental boleh berlaku kerana hati tidak tenang atau takut melampau, sehingga memungkinkan pengidapnya memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada doktor-doktor pakar mental.1


 Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya ‘Aidil Adha Tahun 1442H/2022M, Sabtu, 9 Julai 2022.


Dalam menghadapi dan menangani apa jua musibah, pendekatan Negara Brunei Darussalam tetap tidak berubah dengan cara bersabar, berusaha dan berikhtiar sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam:


Apapun yang berlaku, Brunei Darussalam tidak akan berpaling dari Allah. Apa jua situasi mendatang, semuanya itu akan kita hadapi dengan sabar dan dengan ikhtiar-ikhtiar biasa, lebih-lebih lagi dengan ikhtiar keugamaan.

​Ini, baru satu ikhtiar biasa. Tetapi kita orang Islam ada ikhtiar khusus yang namanya ikhtiar keugamaan, yang sayugia jangan dilupa atau diabaikan, walaupun kiranya ikhtiar biasa telah atau sedang dilalui, tetapi ikhtiar khusus atau ikhtiar keugamaan ini diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental.
Mengapa kita meyakininya demikian itu? Kerana ikhtiar keugamaan itu adalah datangnya daripada Allah sendiri sebagai 'petunjuk'. Sesungguhnya petunjuk Allah itu, semuanya adalah lurus dan benar belaka.
Adapun petunjuk untuk merawat gejala mental itu, kita boleh temui di dalam surah Ar-Ra‘d ayat 28, Allah berfirman, tafsirnya: “Orang-orang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenang tenteram (sihat) ialah dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (sahaja) hati-hati manusia menjadi tenteram.”
​​​

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah disini, ialah berzikir dengan hati dan berlafaz dengan lidah. Dalam makna membanyakkan zikir dengan menyebut, seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, berdoa, berselawat dan membaca al-Qur'an. Ini semua, menurut petunjuk ayat di atas, adalah paling berkesan untuk merawat gejala mental.2
2 Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya ‘Aidil Adha Tahun 1442H/2022M, Sabtu, 9 Julai 2022.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga pernah mengetengahkan isu peningkatan penyakit mental sebagai satu isu yang tidak kurang merunsingkan melalui titah baginda:


​​​
Sementara itu, turut menambahkan lagi kebimbangan ialah apabila baru-baru ini, sempena menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, telah dianggarkan, bahawa beban kesihatan mental di peringkat global adalah semakin meningkat.

Di Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2021 sahaja, sebanyak 1,515 individu telah diagnosis dengan anxiety disorder dan lebih dari 900 individu didapati mengalami depressive disorder.
 

Menurut kajian global, pandemik COVID-19 adalah menjadi penyebab meningkatnya tahap tekanan mental sehingga mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi, dianggarkan satu (1) dalam empat (4) individu mengalami masalah mental.

Maka Beta melihat, kedua-dua isu: Pemanasan Global dan meningkatnya penyakit mental, perlulah sama-sama diberi perhatian mendalam oleh semua pihak.

Pihak berwajib hendaklah menyediakan garis panduan dan nasihat, bagaimana cara untuk menghadapi fenomena ini dan apa cara atau terapi untuk mengelak dan mengubati penyakit mental.

Beta melihat, dua fenomena ini harus dihadapi dan ditangani seperti kita menghadapi dan menangani COVID-19, kerana semua itu adalah sama sahaja berstatus 'musibah'. Kalau COVID-19 kita hadapi dengan SOP saintifik dan vaksin ketuhanan, mengapa terhadap dua fenomena ini tidak boleh dilakukan demikian?

Tetapi soalnya, kita memerlukan inisiatif bersama pihak-pihak yang berkenaan. Misalnya mengenai gejala mental, Beta telahpun mengikuti dan membaca dua ceramah utama oleh pihak kesihatan dan pihak ugama, di mana kedua-duanya mengemukakan pendekatan berbeza tetapi sama-sama mempunyai nilai signifikan yang boleh dijelmakan menjadi tindakan bersepadu mengenainya. Tetapi belum ada kedengaran usaha ke arah itu.​

Pendekatan pihak ugama melihat, bahawa penyakit mental itu pangkalannya ialah 'di hati', dan penyakit hati pula menurut al-Qur'an ubatnya ialah 'zikir'. Pendekatan ini pada hemat Beta amatlah menyuntik untuk difikirkan sebagai salah satu jenis rawatan di pusat-pusat perubatan. Pihak-pihak berkenaan Kesihatan dan Ugama sangat elok untuk menunduki perkara ini bersama-sama.3

​​​

3  Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya 'Aidil Adha Tahun 1444H / 2023M pada hari Rabu, 28 Jun 2023.


Kesihatan mental merupakan isu penting yang semakin mendapat perhatian di peringkat global, termasuk di Negara Brunei Darussalam. Kemurungan (depression) dan Kecelaruan Keresahan (anxiety disorders) adalah antara penyakit mental yang sering dihadapi oleh masyarakat. Menurut statistik Kementerian Kesihatan, seramai kira-kira 11,000 orang sedang menerima rawatan dalam perkhidmatan psikiatri dan perkhidmatan psikologi klinikal dan komuniti, dengan purata 118 kes baru bagi dewasa dan 127 kes baru bagi remaja dan kanak-kanak.

Masalah kesihatan mental ini juga memberi impak kepada individu dalam pelbagai peringkat kehidupan, termasuk di tempat kerja, di mana tekanan kerja yang tinggi, keletihan (burnout), serta kes buli turut menyumbang kepada keresahan dan kemurungan. Statistik juga menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dalam kes bunuh diri, dengan lapan (8) kes dilaporkan pada tahun 2023.

Maka melihat kepada kepentingan isu kesihatan mental yang dihadapi oleh dunia dan juga Negara Brunei Darussalam, tema "Menangani Gejala Mental" telah dipilih sebagai fokus utama Majlis Ilmu 2024. Tema ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman, serta mendorong tindakan proaktif dalam menghadapi cabaran kesihatan mental dalam masyarakat. Dengan penekanan kepada aspek pencegahan, rawatan, dan sokongan komuniti, tema ini diharapkan dapat memberikan panduan yang berkesan untuk memperbaiki kesejahteraan mental di Negara Brunei Darussalam.​



Sub-tema:

  1. Mengenalpasti punca gejala mental.

  2. Pencegahan, rawatan dan pemulihan penyakit mental.

  3. Tatacara perubatan bersepadu (rawatan saintifik dan keugamaan) yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dengan pendekatan whole-of-nation.


Objektif:

  1. Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian.

  2. Meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat mengenai masalah kesihatan mental dan cara untuk  membantu pengidap penyakit mental.

  3. Mengenalpasti punca dan faktor yang boleh mempengaruhi kesihatan mental.

  4. Mengenalpasti tatacara dan kaedah pencegahan gangguan mental, rawatan sepadu yang menggabungkan intervensi medikal dengan rawatan ketuhanan, dan pemulihan penyakit mental.

  5. Mengukuhkan kerjasama serta penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan whole-of-nation.

  6. Memacu tindakan yang menggalakkan dan membantu melindungi kesihatan mental setiap orang sebagai hak asasi manusia sejagat.


Jangkaan Dapatan:

​Tema ini dijangka akan dapat menghasilkan:
 

  1. Meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan mental ke arah mewujudkan individu yang sejahtera dalam keluarga dan masyarakat dan sekali gus menjadi warga yang sihat serta produktif kepada negara.

  2. Mengurangkan stigma terhadap penyakit mental dan membantu masyarakat dalam memberikan sokongan kepada penghidap penyakit mental.

  3. Membentuk program pencegahan dan rawatan yang holistik, yang menggabungkan kaedah medikal dan ketuhanan.

  4. Membantu negara merancang intervensi yang lebih efektif dalam pemulihan pesakit mental dan mencegah berulangnya penyakit mental.

  5. Mengukuhkan strategi dan program yang sedia ada dengan penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan whole-of-nation.

  6. Membantu memperkasa Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025.​