TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS ILMU 2024
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Ilmu yang penuh dengan keberkatan ini.
Beta juga amat gembira dan bersyukur kerana dengan 'inayah Allah jua Majlis Ilmu dapat dilaksanakan pada setiap tahun.
Beta melihat Majlis Ilmu sejak ia mula diadakan telah banyak mengongsikan pelbagai ilmu dan maklumat yang sangat berfaedah.
Beta difahamkan tema majlis Ilmu tahun ini berbunyi "Menangani Gejala Mental."
Pada hemat Beta tema ini sangat signifikan, kerana penyakit mental, sama ada di peringkat nasional mahupun global adalah semakin meningkat.
Di Negara Brunei Darussalam sahaja, seramai 13,246 orang dicatatkan telah menerima rawatan, berbanding 11,231 orang pada tahun lepas. Perkara ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja berlaku di kalangan orang awam, bahkan juga di kalangan penjawat awam dan pelajar sekolah. Oleh itu, ia mesti ditangani oleh pihak-pihak berkepentingan di negara ini.
Orang-orang yang mengalami kecelaruan mental biasanya menghadapi gangguan emosi dan pemikiran, dan sekali gus boleh menggangu hubungan sosial mereka dengan orang lain.
Sebab itu, mental yang sihat adalah diperlukan, untuk sesorang dapat mengurus emosi dan menikmati kehidupan. Sebaliknya seseorang yang mempunyai kecelaruan mental tidak akan dapat berbuat demikian, bahkan akan gagal untuk menangani sebarang cabaran.
Menurut ajaran Ugama Islam, kesihatan fizikal dan kesihatan mental adalah merupakan anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, yang wajib dijaga sebagai salah satu maqasid syar'iah.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, ikhtiar menangani gejala mental telah dan sedang dilaksanakan. Antaranya Kerajaan Beta telah meningkatkan jumlah pegawai psikologi dan menambahkan masa perkhidmatan Talian Harapan 145 iaitu talian bantuan dan sokongan kesihatan mental kepada 24 jam setiap hari.
Adalah menjadi harapan Beta, usaha-usaha bersepadu daripada pihak kesihatan dan pihak ugama akan diteruskan untuk sama-sama menangani isu-isu kesihatan mental.
Dalam hal ini, Beta gembira mengetahui bahawa usaha-usaha bersepadu daripada pihak kesihatan, pihak ugama dan pihak perkhidmatan awam dengan sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) telah menjalankan beberapa program, antaranya Jerayawara Kesihatan Mental di Tempat Kerja, di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan yang memfokus kepada pendidikan kesihatan mental dan perpektif Islam dan sains.
Beta juga difahamkan pada masa ini salah satu tindakan utama di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022 - 2025, iaitu Program Latihan Asas Kesihatan Mental Untuk Pemimpin Masyarakat, khusus kepada para imam, ustaz dan da'ie, yang menggabungkan ilmu rawatan saintifik dan kerohanian, telah dijalankan secara kerjasama di antara pihak kesihatan dan pihak ugama.
Pada hemat Beta, perkara ini juga, masih perlu dipantau dan difikirkan keberkesanannya, atau jika ada cara lain yang lebih berkenan.
Pada kesempatan ini, Beta berseru, kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat supaya turut sama-sama bertanggungjawab dan berperanan dalam membantu dan menyokong pesakit dalam proses pemulihan atau penyembuhan.
Sebagai mengambil sukut baik, Majlis Ilmu tahun ini, turut diisi dengan Majlis Pelancaran dua buku bertajuk: "Menyambut Hari Keputeraan Raja Dengan Semangat Ilal Hijrah" dan buku, "Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Doa dan Zikir". Beta ucapkan tahniah atas usaha yang bernilai dan bermanfaat ini.
Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada penganjur dan semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati segala usaha yang berkebajikan ini. Amiin.
Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli 'Alaa Sayyidina Muhammad, Wa "Alaa Aalihi Wasahbihee Wasallim, Beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk: "Menyambut Hari Keputeraan Raja Dengan Semangat Ilal Hijrah" dan buku "Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Doa dan Zikir dan sekali gus merasmikan Majlis Ilmu 2024 beserta semua acara di dalamnya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.