Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksCeramah Khas Majlis Ilmu 2021



COVID-19 SATU IKTIBAR DAN ADA HIKMAH DISEBALIKNYA

Berlakunya  Covid-19 atau wabak corona virus, bukanlah ia satu kejadian yang sia-sia, kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Suci dari melakukan perkara yang sia-sia.

Jadi kita umat yang berakidah, sangat mustahak untuk mengetahui dan sekaligus meyakini, bahawa Covid-19 adalah ia benar-benar satu iktibar daripada Allah, kerana datangnya ia adalah daripada Allah, di mana apa saja yang datang daripada Allah itu, pastinya ada hikmah atau rahsia disebaliknya.

Dengan bercermin kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, bahawa musibah selaku iktibar, berlaku biasanya berpunca daripada kesalahan atau dosa manusia.  Disebabkan kesalahan atau dosa itulah, Allah menghukum atau mengajar mereka dengan musibah supaya pada mula-mula dirasakan dulu peritnya musibah, yang kemudian baru menyusul kesedaran menjadikannya iktibar.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah khas Majlis Ilmu 2021 dalam rancangan Rampai Pagi Edisi Khas Sempena Majlis Ilmu 2021 yang disiarkan di Radio Televisyen Brunei pada 4 November, 2021.

“Sebagai contoh mudah:  Hukuman kerana dosa minum arak adalah sebatan dan hukuman kerana mencuri pula ialah potong tangan.  Kedua-dua hukuman di sini tidakkah ia iktibar (pengajaran dan peringatan), supaya orang jangan minum arak dan jangan mencuri?  Dalam makna lain, iktibar itu juga adalah ia “amaran”.

“Dalam al-Qur’an al-Karim, banyak dirakam kisah Nabi-Nabi ‘alaihimussalam dan kaum-kaum mereka masing-masing.  Kaum-kaum ini dihukum oleh Allah dengan pelbagai rupa musibah setimpal dengan dosa masing-masing dan kaum-kaum tersebut musnah tiada yang tinggal, kecuali para Nabi dan pengikut-pengikut  mereka yang beriman sahaja yang diselamatkan oleh Allah,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin, hukuman-hukuman itu berlaku tidak lain, kerana dosa atau maksiat yang mereka telah lakukan dan Allah mengabadikan kisah-kisah ini di dalam al-Qur’an  untuk jadi iktibar-iktibar sebagaimana  firmanNya di dalam al-Qur’an surah Yusof ayat 111 yang tafsirnya:  “Demi sesungguhnya kisah-kisah mereka (para Nabi) itu adalah ia iktibar (pengajaran) bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.  (Adapun kisah-kisah ini) bukan cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi untuk mengisahkan apa yang telah berlaku terdahulu, dan juga sebagai keterangan bagi tiap-tiap sesuatu serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

Kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam atau umat yang datang setelah Baginda lahir, menurut Yang Berhormat Pehin adalah sangat beruntung berbanding dengan umat-umat yang terdahulu kerana umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan dihukum dengan hukuman kemusnahan total, sebagaimana berlaku ke atas umat-umat yang terdahulu  kerana doa Nabi kita ini telah diterima oleh Allah supaya umat Baginda  tidak akan  dihukum dengan hukuman kemusnahan total itu. 

“Kerana itulah kita masih sahaja dapat menyaksikan, walau terdapat tempat-tempat yang dilanda oleh bagaimanapun dahsyatnya musibah, seperti musibah-musibah tsunami, gempa bumi, kebakaran-kebakaran yang memusnahkan ribuan hektar kawasan, lahar gunung berapi yang meranapkan ribuan bangunan, bahkah lahar itu juga mengalir ke laut menjadikan laut mendidih, namun kemusnahan masih sahaja ditahap yang terhad – tidak menyeluruh,” jelas Yang Berhormat Pehin. 

Mengambil misal “musibah Covid-19”, Yang Berhormat Pehin mejelaskan  musibah ini setakat ceramah ini dilakar, telah terkumpul korban bagi seluruh dunia, menghampiri lima juta jiwa.

Namun, katanya berdasarkan doa Nabi kita telah diterima oleh Allah, iaitu Baginda meminta supaya Allah tidak akan membinasakan umat Baginda sepertimana Allah  membinasakan umat-umat terdahulu dengan menghukum mereka dengan kemusnahan total maka dengan itu Insya Allah, Covid-19 tidaklah akan sampai mengorbankan seluruh isi jagat ini.

“Alhamduillah, ini bererti,  kita penduduk dunia di zaman mutakhir ini, masih sahaja ada peluang atau kesempatan untuk menyedari kesalahan-kesalahan lama kita, yang kiranya (mungkin) inilah juga yang menyebabkan Allah murka menurunkan Covid-19.  Sambil menyedari itu, kita juga terus berpeluang untuk menyahut seruan atau galakkan daripada Allah untuk kita menebus diri dengan Istighfar atau taubat,” jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, ini adalah keuntungan umat akhir zaman, masih sahaja sempat, kerana diberi peluang oleh Allah untuk ruju’ kepadaNya dengan taubat, walaupun sebanyak mana manusia telah dan sedang melakukan dosa atau kesalahan, dan barangsiapa yang ruju’, pasti sahaja akan mendapat keampunan.

Oleh itu, katanya kita umat Islam jangan lepaskan peluang ini untuk menyahut seruan beristighfar atau taubat yang berulang-ulang kali diungkapkan oleh Allah dalam kitabNya al-Qur’an, 

“Allah mendatangkan musibah selaku iktibar ialah supaya kita insaf, dan setelah insaf itu, tentu saja kita mesti kembali kepadaNya (bertaubat) meminta ampun.  Barulah ada makna kita memanfaatkan iktibar itu.

“Setelah bertaubat, barulah akan berlaku perhitungan Allah terhadap kita.  Apa dia perhitungan Allah itu?  Dia akan mendatangkan rahmat, melepaskan kita daripada musibah yang sedang kita hadapi,” jelasnya.

Manakala ini dibuat, tambahnya Allah berjanji akan mengangkat apa jua jenis kesusahan kita, sama ada ia berupa susah kerana penyakit, atau susah kerana sempit rezeki, atau susah kerana lambat dapat zuriat, atau susah kerana selalu didatangi oleh musibah, semua itu akan terangkat atau terlerai dengan Istighfar, diganti dengan turunnya rahmat daripada Allah.

Berbangkit dari pandemik Covid-19 juga, masyarakat dunia di mana sahaja, sedang  terdedah kepada “kesan” emosi dan kesihatan mental.  Ini juga jangan kita lupa ia adalah iktibar.  Perubahan norma baru kehidupan, banyak memberi infak kepada emosi dan kesihatan mental.  Pembatasan pergerakan dan aktiviti sosial sangatlah merimaskan.  Betapa tidak, bukankah dengan pembatasan itu banyak kepentingan-kepentingan yang terjejas?  Ekonomi boleh lebur kerana perkerjaan hilang, perusahaan dan perniagaan terhenti, yang resikonya boleh membawa macam-macam hal.

Inilah antara sebab yang menjadikan kesihatan mental dipersoalkan bersempena menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini.  Di Brunei,  menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, ada sejumlah 1,058 panggilan dicatatkan sejak Ogos hingga September 2021 dan terdapat peningkatan panggilan meminta nasihat bagi kesihatan mental termasuk berkaitan dengan Covid-19.  Sementara di negara jiran pula telah menganggarkan hampir 500,000 individu yang berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan (depression).

“Jadi jelas, Covid-19 tidak terlepas dari menjadi punca tekanan emosi yang merisaukan.  Kerana itu memang wajar bagi Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyarankan untuk kita mempunyai jadual melakukan aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat untuk dibuat di rumah.  Tujuannya tentu saja mengurangka tekanan dalam/mental,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Antara isu kesihatan mental, menurut Yang Berhormat Pehin ialah termasuk tekanan perasaan (acute stress disorders) dan kemurungan (depression) yang juga merupakan faktor dalaman yang berpengkalan di hati, dan  apabila berlaku krisis mental, bererti hatilah yang bermasaalah iaitu tidak tenteram, kacau bilau, resah gelisah dan murung.

Katanya, apabila ini berlaku, pihak perubatan antara lain menyarankan untuk melakukan aktiviti physical, secara tetap, seperti bersenam atau beriadah,   gunakan lebih banyak masa untuk berbual-bual dengan keluarga,  melayani hobi yang baik seperti berternak atau bercucuk tanam atau bertukang dan seumpamanya dengan tujuan tentu saja untuk merehatkan minda, meredakan stress dan meleraikan perkara-perkara kusut dalam kepala.

Tetapi disamping itu, tegasnya ada lagi yang sayugia jangan sekali-kali diabaikan kerana ia amat perlu untuk merawat dan mengubat penyakit-penyakit hati, penyakit kepala berkecemuk dan penyakit murung itu iaitu dengan mendekati Allah dan  merawat ‘dalaman’ kita dengan dzikir.

Manakala kita lakukan ini, tegasnya kita bukan lagi keseorangan, bukan lagi bersendirian, tetapi kita sudah berdua iaitu  dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, bersempena dengan menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia, dalam saat-saat yang amat mencabar ini, kita orang-orang Islam yang mengaku beriman tidaklah sepatutnya terlalu risau, terlalu rungsing dengan gejala-gejala mental, kerana kita sudah sedia ada cara, sudah sedia ada ubat yang ampuh untuk mengekalkan kesihatan mental iaitu dengan “Dzikirullah”  (berdzikir kepada Allah).

Cara atau ubat ini, tegas Yang Berhormat Pehin bukanlah siapa-siapa yang  mencipta dan bukan keluar dari kilang-kilang membuat ubat, tetapi ia adalah langsung daripada Allah sebagai kurnia istimewa daripadaNya, berupa sepotong ayat memberitahu apa ia ubat itu, tafsirnya:   “Orang-orang yang beriman hati-hati mereka itu tenang tenteram dengan Dzikirullah.  Ketahuilah!  Dengan Dzikirullah itu akan tenang tenteramlah hati-hati manusia.” (Surah Ar-Ra’d ayat 28). 

“Ingatilah banyak-banyak Allah.  Sebutlah banyak-banyak dzikir kepadaNya, terutama sekali, bacalah selalu-selalu al-Qur’an, insya Allah, Allah menjamin, dalaman kita akan tetap sihat, mental kita akan tetap sihat, rohani kita akan tetap sihat, walau, datang macamana pun tangkarah dunia, datang macamana pun gelombang Covid-19, tidak akan dapat insya Allah, untuk menjadikan mental orang-orang yang berdzikir itu bermasaalah atau sakit,” tegasnya.

Kalau kita bersenam, bersenamlah; beriadah, beriadahlah; namun ini, katanya tidak menghalangi untuk sambil berdzikir.  

Semua ini kalau kita buat, jelasnya pahala dapat, dan juga akan memberi infak kepada hati jadi tenteram, mental dan jiwa jadi sihat sebagaimana jaminan Allah.  

“Demikian petunjuk al-Qur’an untuk kesihatan mental, untuk kesihatan rohani, malah untuk kesihatan dalaman kita seluruhnya,” tegasnya.




Sumber: http://www.mufti.gov.bn/Lists/News/DispForm.aspx?ID=564

*******