Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLatar Belakang Tema Majlis Ilmu 2017

Tema Majlis Ilmu 2017

Mensyukuri Kepimpinan terutama Perkhidmatan Ugama sepanjang 50 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Penerangan tema:

Definisi Perkataan

a) Mensyukuri: Perkataan mensyukuri berasal dari kata syukur yang bererti mengucapkan syukur (terima kasih) kepada dan melakukan sesuatu (berkenduri dan lain-lain) sebagai tanda bersyukur. Dalam konteks tema yang dipaparkan, bermaksud terima kasih atas segala nikmat atau rahmat yang diberikan oleh Allah kepada kita semua. (Kamus Dewan)

b) Kepimpinan: Bermaksud daya (tindak tanduk, kecekapan dan sebagainya) seseorang pemimpin; dan keupayaan memimpin. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara) 

c) Perkhidmatan: Perkataan perkhidmatan berasal dari kata Khidmat yang bererti hormat dengan sopan santun. Ia juga bermaksud perbuatan (pekerjaan) yang menunjukkan kesetiaan atau pengabdian (kepada negara dan lain-lain), bakti serta kerja untuk memenuhi keperluan orang ramai dan lain-lain.

Perkataan perkhidmatan pula bermaksud perihal berkhidmat (bertugas), kerja (usaha, kemudahan dan lain-lain) untuk kebajikan, (keperluan, kepentingan) orang ramai dan lain-lain seperti;

Perkhidmatan awam bermaksud segala kegiatan (usaha) pemerintah yang ada kaitannya dengan orang ramai, perkhidmatan kerajaan: perkhidmatan (seperti kerja-kerja pentadbiran dan lain-lain) oleh pemerintah, perkhidmatan  perubatan: perkhidmatan yang berkaitan dengan kesihatan rakyat (bekalan perubatan dan sebagainya), perkhidmatan sosial: perkhidmatan (seperti perkhidmatan perubatan, pelajaran, dan lain-lain) untuk kebajikan rakyat.(Kamus Dewan)


d)  Ugama:  Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Ugama bermakna ugama lslam menurut Ahli Sunnah Waljamaah mengikut mazhab Syafi’e dan Ugama lslam juga adalah ugama rasmi negara menurut Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.


e) 50 (Lima Puluh) tahun angka hitungan yang sedia kita maklumi, dalam konteks tema yang dinyatakan membawa maksud tempoh dan  jangka masa kepimpinan atau pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan  dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Negara Brunei Darussalam.

f)  Pemerintahan: Bermaksud perihal memerintah, cara (sistem) memerintah, dan pentadbiran sesebuah negara atau organisasi. (Kamus Dewan). Ia juga bermaksud proses (perbuatan, cara) memerintah; dan segala urusan yang dilakukan oleh negara dalam menyelenggarakan kesejahteraan masyarakat dan kepentingan negara. (Kamus Bahasa Melayu Nusantara)


g) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Sultan yang ke 29 bagi Negara Brunei Darussalam iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien; raja dan pemerintah yang memimpin Negara  Brunei Darussalam.

 
Maksud Tema

Tema yang digunakan bagi Majlis Ilmu pada tahun 2017 ini mendorong kita  selaku Rakyat Negara Brunei Darussalam wajib mensyukuri nikmat dan rahmat yang Allah berikan kepada bumi yang penuh berkat Negara Brunei Darussalam yang sentiasa dalam keadaan aman dan damai di bawah pimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam perkhidmatan Ugama, secara terang lagi nyata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan seorang pemimpin yang wajib dipatuhi dan dicontohi kerana menempatkan ugama Islam selaku ugama rasmi di Negara Brunei Darussalam, sehinggakan dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 telah termaktub bahawa Ugama Islam selaku agama rasmi yang diamalkan dihayati walaupun telah dinyatakan juga bahawa Agama lain boleh diamalkan dan dihayati namun bukan bermakna Islam dipencilkan atau diketepikan malah ugama Islam menjadi tonggak dalam tindak tanduk pentadbiran, kepimpinan dan pengurusan yang dilaksanakan.  Perkara ini semakin kukuh lagi apabila falsafah Melayu Islam Beraja diperkenankan selaku falsafah Negara yang patut disanjung tinggi.

Pengisytiharan Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam juga telah dititahkan sebagaimana pernyataan “Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin dan limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran ugama Islam menurut ahli sunnah wal Jama’ah berasaskan keadilan”

Pada menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang Islam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenankan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang menjadi undang-undang utama.  Perkara ini sangat tinggi nilainya kerana perlaksanaan undang-undang ini membuktikan bahawa syiar Islam di Negara Brunei Darussalam telah mencapai matlamat bagi pembentukan sebuah Negara Zikir. Ini juga menunjukkan sifat kegigihan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang benar-benar berusaha menegakkan ajaran Ugama Islam dan memdaulatkannya bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan Ugama.

Akta Pendidikan Ugama Wajib merupakan undang-undang yang dikuatkuasakan khusus dalam bidang pendidikan ugama, dan ia bertujuan bagi memantapkan lagi pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam, agar tidak ada keciciran rakyat Negara Brunei Darussalam dalam pendidikan ugama.  Ini bererti Kemantapan pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam juga dapat menjamin keselamatan serta keharmonian dan kesejahteraan negara.  

Dalam kita suci Al Quran surah Ibrahim ayat 7 Allah berfirman:

milmujawi_image.JPG

Tafsirnya kira-kira bermaksud; Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Dari ayat dinyatakan  dapat fahami, bahawa selama mana kita mensyukuri akan nikmat Allah berikan kepada kita, maka selama tersebutlah Allah akan menambahkan lagi kenikmatan yang kita ada,  nikmat ketenangan, kesejahteraan serta keharmonian di Negara Brunei Darussalam yang dicintai ini. Jika kita tidak mensyukurinya mohon dijauhkan kita dari segala azab dan musibah yang melanda.

Kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dalam memimpin Negara Brunei Darussalam, mendorong segenap lapisan rakyat dan penduduk berkewajipan untuk bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan segala nikmat yang dikurniakan ini. Itulah yang dimaksudkan dalam ungkapan tema yang dinyatakan.